CABARAN LUAR BIASA JDT DALAM ACLE 2025/2026

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi bersama kelab dari Jepun, China, Thailand dan Australia dalam saingan peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2025-2026. | Foto arkib MDJ.

 

#IskandarPuteri – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berhadapan cabaran getir dan sengit selepas diundi bersama kelab dari Jepun, China, Thailand dan Australia dalam saingan peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2025-2026.

 

Skuad Harimau Selatan bakal mengharungi lapan perlawanan melibatkan Shanghai Port, Shanghai Shenhua, Vissel Kobe dan Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim, manakala Sanfrecce Hiroshima, Chengdu Rongcheng, Buriram United dan Melbourne City di tempat lawan.

 

Selaku wakil tunggal dari Malaysia dalam saingan ACLE, JDT bimbingan Xisco Muñoz telah diundi bersama jaguh-jaguh lain dari Asia Timur dalam satu majlis undian rasmi berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini, bagi saingan kejohanan yang akan bermula pada September ini.

 

Mengikut format pertandingan, JDT akan bermain sebanyak lapan perlawanan iaitu empat di tempat sendiri dan empat di tempat lawan dalam format liga 12 pasukan elit Asia Timur dengan lapan pasukan teratas akan layak ke pusingan 16 terbaik ACLE musim baharu ini.

 

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan berjaya menamatkan saingan peringkat Liga Asia Timur di tangga ketiga untuk berjaya layak ke Pusingan 16 pada saingan ACL Elite 2024-2025, suatu prestasi dan pencapaian yang membanggakan sebagai satu-satu kelab mewakili negara dalam kejohanan itu.

 

Meskipun undian memperlihatkan laluan yang penuh cabaran, JDT diharapkan dapat memanfaatkan peluang bermain di hadapan penyokong setia dan gelanggang sendiri sekali gus meraih dan ‘mencuri’ mata penting seterusnya melangkah lebih jauh edisi kali ini.

 

#ACLE2025/2026
#JohorDarulTazim
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor