CUPING DAN JUCY DIPERKENALKAN SEBAGAI MASKOT TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran Tagline, Video Rasmi, Maskot dan Lagu Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Negeri melalui Tourism Johor dan Majestic Johor Tourism Sdn. Bhd. melancarkan maskot, ‘tagline’, lagu dan video rasmi kempen Tahun Melawat Johor 2026 bersama pengunjung Zoo Johor, hari ini.
Dua ekor harimau belang terdapat di Zoo Johor iaitu Cuping dan Jucy telah diangkat sebagai maskot sekali gus berperanan sebagai duta kecil dalam menyambut kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Selain itu, kempen Tahun Melawat Johor 2026 disemarakkan lagi dengan ‘Meh Lah Johor’ sebagai ‘tagline’ yang membawa semangat keterbukaan dan kemesraan rakyat Johor dalam mengalu-alukan kehadiran pelawat.
Manakala, lagu ‘Pesona Johor’ nyanyian Aina Abdul, penyanyi terkenal tanah air pula dipilih sebagai lagu rasmi Tahun Melawat Johor 2026 yang mengangkat keistimewaan 10 daerah serta keunikan budaya, seni dan produk pelancongan di negeri ini.
Pelancaran berkenaan menjadi titik permulaan kepada kempen Tahun Melawat Johor 2026 yang mensasarkan kehadiran 12 juta pelancong dengan potensi hasil ekonomi melebihi RM42 bilion turut dipacu dengan peningkatan jumlah pelawat sejak kebelakangan ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran Tagline, Video Rasmi, Maskot dan Lagu Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor. Hadir sama, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#PesonaJohor
#MehLahJohor
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor