DUA PENERIMA BOMJ KOHORT PERTAMA BERLEPAS KE UK

Penerima Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) Kohort Pertama Tahun 2023, M. Laxmann dan Lee Chong Min berlepas ke Eropah untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi terbaik dunia. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Dua penerima Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) Kohort Pertama Tahun 2023, M. Laxmann dan Lee Chong Min berlepas ke Eropah semalam, untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi terbaik dunia.

 

Laxmann berasal dari Johor Bahru dan Chong Min dari Batu Pahat yang sebelum ini meraih keputusan cemerlang peperiksaan Antarabangsa Cambridge (A-Levels) masing-masing melanjutkan pengajian dalam bidang Bioteknologi dan Kejuruteraan Kimia di Imperial College London, United Kingdom.

 

Pemergian mereka bagi YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor membawa bersama doa, harapan dan amanah Johor agar segala ilmu diraih menjadi bekalan untuk kembali pulang menabur bakti di negeri ini.

 

Inisiatif BOMJ bukan sekadar biasiswa pendidikan, sebaliknya merupakan pelaburan besar negeri ini dalam melahirkan generasi cemerlang bersandarkan keyakinan terhadap keberanian Orang Muda Johor (OMJ) untuk merealisasikan impian.

 

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus diperkasakan demi melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan seperti dititahkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Selain itu, kisah Laxmann dan Chong Min yang berjaya melangkah ke institusi pendidikan tinggi terbaik dunia itu diharapkan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh anak Johor bahawa tiada sempadan untuk meraih kejayaan dengan tekad, usaha dan sokongan padu.

 

#BiasiswaOrangMudaJohor
#BOMJ
#JohorHomeOfChampions
#JohorLeads
#JohorSafeZone
#PendidikanBerkualiti
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor