EKSPO PERDAGANGAN DEEPAVALI BUKA PELUANG MASYARAKAT INDIA BUAT PERSIAPAN AWAL

YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian Festival & Ekspo Perdagangan Deepavali Asia Tenggara di Sutera Mall. | Foto MDJ Imran Razib

 

#JohorBahru – Kemeriahan sambutan Deepavali sudah dirasai walaupun perayaan akan disambut pada bulan depan apabila masyarakat India kini boleh membuat persiapan lebih awal dengan mengunjungi Festival & Ekspo Perdagangan Deepavali Asia Tenggara yang berlangsung di Sutera Mall.

 

Penganjuran festival dan ekspo yang memasuki edisi ketujuh berturut-turut di negeri ini, membolehkan masyarakat India mendapatkan pelbagai barangan daripada lebih 40 peratus usahawan tempatan seperti pakaian, aksesori, hiasan rumah, makanan tradisi dan manisan.

 

Berlangsung selama lima hari dari 3 hingga 7 September, festival dan ekspo bertaraf antarabangsa itu juga memberi peluang kepada usahawan selaku pempamer memasarkan produk masing-masing kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri yang membuka peluang jaringan perniagaan lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan khabar gembira buat masyarakat India di Johor apabila pendekatan ‘whole of government’ dijayakan menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pembinaan krematorium di Ulu Choh bernilai RM2.5 juta.

 

Komitmen Kerajaan Negeri menjaga kebajikan demi kesejahteraan masyarakat India dan Cina sebelum ini sudah dizahirkan menerusi peruntukan RM12 juta di dalam Belanjawan Johor 2025 khusus untuk masyarakat India dan Cina termasuk RM3 juta bantuan persekolahan kepada 6,000 pelajar.

 

Terdahulu, YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian Festival & Ekspo Perdagangan Deepavali Asia Tenggara di Sutera Mall, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#Deepavali
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor