ELAUN KETUA KAMPUNG DAN BATIN ORANG ASLI NAIK RM300 SEBULAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan kenaikan elaun bagi Ketua Kampung dan Batin Orang Asli sebanyak RM300 sebulan berkuat kuasa mulai Januari 2026, menjadikan elaun bulanan mereka berjumlah RM1,500 berbanding RM1,200 sebelum ini.
Inisiatif tambahan yang diumumkan ini bakal memanfaatkan seramai 667 Ketua Kampung dan 46 Batin Orang Asli, dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM2.6 juta di bawah Belanjawan Johor 2026.
Penambahan elaun ini merupakan tanda pengiktirafan terhadap jasa dan tanggungjawab pemimpin komuniti yang sentiasa menjadi penghubung penting antara rakyat dan pentadbiran negeri, selain mereka juga berperanan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.
Selain itu, Ketua Kampung dan Batin Orang Asli merupakan individu penting di sebalik tabir yang menjaga keharmonian dan menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat, sekali gus kenaikan elaun ini menjadi tanda penghargaan Kerajaan Negeri.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



