GEMILANG 100 TAHUN TAMBAK JOHOR


Keberangkatan Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang berkenan untuk bersama meraikan detik bersejarah tersebut berlangsung di ‘Zero Point’, Tambak Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sambutan 100 Tahun Tambak Johor diraikan dengan penuh bermakna sebagai memperingati lakaran bersejarah peristiwa perasmian struktur binaan ikonik seabad yang lalu serta hubungan akrab antara Malaysia khususnya Negeri Johor dan Singapura, hari ini.

 

Lebih istimewa, sambutan telah diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang berkenan untuk bersama meraikan detik bersejarah tersebut berlangsung di ‘Zero Point’, Tambak Johor itu.

 

Pemangku Sultan Johor seterusnya berkenan menyaksikan pertukaran cenderahati antara Kerajaan Johor kepada Kerajaan Singapura yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan TYT Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar Singapura.

 

Sambutan diteruskan dengan pelepasan 100 ekor burung merpati simbolik seabad perasmian pembukaan sambutan darat pertama Malaysia dan Singapura pada 28 Jun 1924 yang kini merupakan pintu sempadan antara tersibuk di dunia.

 

Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail turut berkenan bergambar bersama barisan kepimpinan Kerajaan Johor dan Kerajaan Singapura berlatar belakangkan kedua-dua negara sebelum berangkat pulang meninggalkan majlis.

 

Selesai acara di Zero Point, rombongan Kerajaan Negeri menuju ke Muzium Tokoh Johor, dekat Bukit Senyum bagi lawatan Pameran Sambutan 100 Tahun Perasmian Tambak Johor di mana Menteri Besar Johor telah menandatangani plak sambutan.

 

Turut hadir, YB Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor; YBrs. Heng Aik Yeow, Ketua Pengarah di Kementerian Ehwal Luar Singapura serta YBrs. Ng Kuan Khai, Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru.

 

Tambak Johor merentasi Selat Tebrau menghubungkan Johor dan Singapura telah dirasmikan ketika era pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan sehingga kini terus menjadi nadi penting pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan.

 

#100TahunTambakJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor