HSAJB BUKA KLINIK SELEPAS WAKTU PEJABAT

Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) kini membuka Klinik Rawatan Pesakit Selepas Waktu Pejabat (KRPSWP) di Poliklinik Pakar HSAJB. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) kini memulakan pengoperasian Klinik Rawatan Pesakit Selepas Waktu Pejabat (KRPSWP) di Poliklinik Pakar HSAJB sebagai usaha berterusan untuk menangani masalah kesesakan dan tempoh masa menunggu yang panjang di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan yang juga antara fasiliti kesihatan tersibuk di Malaysia.

 

Inisiatif strategik ini digerakkan secara bersama antara HSAJB dan Kerajaan Negeri bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan pesakit luar, perkhidmatan X-Ray serta pengambilan ubatan di KRPSWP yang beroperasi dari jam 6 petang hingga 10 malam pada hari bekerja dan ia dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada hujung minggu serta cuti umum.

 

Langkah proaktif yang dilaksanakan mulai semalam itu juga secara tidak langsung dapat memanfaatkan ruang sedia ada di Poliklinik HSAJB yang sebelum ini tidak digunakan selepas waktu pejabat, sekali gus berupaya menampung perkhidmatan tambahan bagi pesakit yang tidak memerlukan rawatan kecemasan tetapi terpaksa ke Jabatan Kecemasan dan perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

 

Pengoperasian klinik selepas waktu bekerja ini mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri terhadap sistem perkhidmatan kesihatan dengan beberapa peruntukan telah disalurkan bagi tujuan menaik taraf Jabatan Kecemasan, pembelian peralatan baharu, penempatan sukarelawan Southern Volunteers (SV) serta lantikan doktor kontrak tambahan bagi mengurangkan beban petugas sedia ada.

 

Selain itu, pendekatan ‘whole-of-government’ turut diambil Kerajaan Negeri dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan di HSAJB dan ia dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan, sekali gus memastikan perkhidmatan kesihatan lebih cepat, selesa dan berkualiti dapat dinikmati oleh Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#PenjagaanKesihatan
#HSAJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor