IIB SEDIA TERUS PACU TRANSFORMASI ISKANDAR MALAYSIA SEIRING BELANJAWAN 2026

Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026 yang diyakini mampu memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta mempercepat pembangunan mampan dan inklusif di Johor. | Foto Iskandar Investment Berhad

 

#IskandarPuteri – Iskandar Investment Berhad (IIB) menyokong penuh Belanjawan 2026 dibentangkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang diyakini memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara serta mempercepat agenda pembangunan mampan dan inklusif di negeri ini.

 

Dengan sokongan padu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, IIB terus komited dalam memainkan peranan sebagai pemacu utama transformasi ekonomi Iskandar Malaysia melalui strategi pelaburan berimpak tinggi, pembangunan komuniti dan pemerkasaan bakat tempatan menerusi belanjawan yang melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM470 bilion.

 

Dalam satu kenyataan, IIB memaklumkan pihaknya memandang tinggi iltizam kerajaan dalam memperkukuh asas fiskal negara yang diyakini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap projek-projek jangka panjang di negeri ini terutama dalam sektor pelaburan berimpak tinggi serta pembangunan mampan.

 

Syarikat pemegang pelaburan itu juga menzahirkan komitmen untuk berperanan penting bagi menjayakan aspirasi Belanjawan 2026 melalui strategi yang memacu pertumbuhan ekonomi serantau, mengukuhkan ekosistem bakat dan memperluas pelaburan hijau dan inovasi digital di wilayah Iskandar Puteri.

 

Susulan penekanan Kerajaan Persekutuan terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), IIB mahu untuk terus berperanan aktif dalam menyokong pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di kawasan zon tersebut agar manfaat ekonomi dapat dirasai secara inklusif oleh rakyat terutama komuniti setempat.

 

Selain itu, IIB bersedia bekerjasama rapat dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memastikan program K-Youth di Johor dilaksanakan dengan berkesan sekali gus melengkapi usaha Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan dan menyediakan laluan kerja berpendapatan tinggi.

 

Antara pengumuman lain yang disambut baik adalah pelaksanaan inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) serta penyelidikan, pembangunan komersial dan daya cipta (RDCI), Elaun Cukai Pelaburan Hijau selain pembangunan kemudahan penginapan pelajar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Universiti Malaya (UM).

 

Malah IIB turut memuji inisiatif program pembeli rumah pertama berharga di bawah RM500,000 yang menyokong pembangunan Wawari West Park Homes iaitu komitmen mereka menyediakan penyelesaian kediaman mampu milik di Iskandar Puteri di samping GEAR-Up dan jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

 

IIB juga berhasrat untuk memposisikan dirinya sebagai enjin rejuvenasi ekonomi selatan dengan memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, memperkukuh jaringan pelaburan rentas sempadan dan menyumbang kepada kemakmuran negara secara menyeluruh.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanMadani2026
#IskandarInvestmentBerhad
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor