INFAQ JUMAAT JOHOR, MENYEMAI NILAI MEMBERI DALAM JIWA BANGSA JOHOR

Lebih signifikan, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 2.28 juta orang, satu angka yang jelas menggambarkan impak besar program ini dalam menyentuh kehidupan rakyat di segenap lapisan. | Foto Arkib MDJ

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Nilai memberi dan berkongsi tidak seharusnya pudar, sebaliknya ia perlu terus dipupuk agar menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin.
2. Di Johor, semangat ini terus disuburkan melalui pelaksanaan Program Infaq Jumaat Johor yang kini menjadi antara inisiatif signifikan dalam memperkukuh syiar Islam serta menyemai budaya kebajikan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam di negeri ini.
3. Lebih daripada sekadar sumbangan mingguan, Infaq Jumaat Johor membawa makna yang lebih mendalam apabila ia juga menjadi antara platform untuk rakyat menghulurkan bantuan secara konsisten, khususnya kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, warga emas, pesakit serta mereka yang diuji dengan kesempitan hidup.
4. Apa yang lebih membanggakan, program ini merupakan ilham daripada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menekankan kepentingan nilai ihsan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan Bangsa Johor.
5. Ilham ini kemudiannya diterjemahkan oleh Kerajaan Johor melalui pelaksanaannya yang menyeluruh di masjid dan surau di seluruh negeri ini, sekali gus menjadikan institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi juga pusat kebajikan yang menyatukan padukan komuniti setempat.
6. Sehingga suku pertama tahun ini, Infaq Jumaat telah dilaksanakan di 5,660 masjid dan surau seluruh Negeri Johor melibatkan peruntukan sebanyak RM5.66 juta.
7. Sebanyak RM1.13 juta turut disumbangkan masjid dan surau. Ia secara tidak langsung telah memperkukuh lagi peranan institusi ini sebagai pusat sehenti yang bukan sahaja memfokuskan ibadah semata-mata, tetapi juga kebajikan untuk masyarakat setempat.
8. Lebih signifikan, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 2.28 juta orang, satu angka yang jelas menggambarkan impak besar program ini dalam menyentuh kehidupan rakyat di segenap lapisan.
9. Nilai yang terhasil daripada Infaq Jumaat ini bukan sahaja membantu meringankan beban, tetapi turut membentuk jiwa masyarakat yang lebih peka, empati dan bertanggungjawab terhadap keadaan persekitaran sekeliling.
10. Malah, ilham murni ini turut menyemarakkan gelombang kebaikan yang lebih luas apabila semakin ramai pihak tampil untuk menyumbang dan berkongsi rezeki. Antara contoh terbaik adalah usaha Yayasan JCorp yang berjaya mengumpulkan lebih 2.5 tan makanan lebihan menerusi Program MYSaveFood sepanjang Ramadan, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 4,000 penerima di seluruh negeri serta mengelakkan berlakunya pembaziran.
11. Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa semangat memberi yang dicetuskan bukan sahaja tertumpu di masjid, malah berkembang merentasi pelbagai platform kebajikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
12. Dalam konteks yang lebih luas, pendekatan ini turut memperkukuh peranan institusi masjid sebagai entiti yang mendekati rakyat, bukan hanya dari sudut kerohanian, tetapi juga melibatkan soal kebajikan sosial yang menyentuh kehidupan seharian.
13. Ia sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan kepimpinan Johor dalam memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi turut merangkumi pembangunan nilai dan sahsiah dalam diri masyarakat.
14. Sesungguhnya, kekuatan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui angka dan pencapaian material, tetapi juga bersandarkan pada keutuhan nilai kemanusiaan yang diamalkan oleh rakyatnya.
15. Infaq Jumaat Johor telah menjadi bukti jelas bahawa budaya memberi masih subur dalam jiwa Bangsa Johor, sekali gus mencerminkan sebuah masyarakat yang sentiasa bersedia untuk berkongsi rezeki, membantu sesama insan dan bergerak maju bersama.
16. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas ilham dan aspirasi murni yang terus menjadi panduan dalam membentuk masyarakat Johor yang berjiwa besar, pemurah dan bersatu.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#InfaqJumaatJohor
#KongsiRezeki
#JohorHomeOfChampions
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


