INISIATIF BAUCAR KASIH JOHOR DIPERKENAL BUAT PERTAMA KALI

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor berucap dalam sesi penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mencipta sejarah apabila buat pertama kali bakal memperkenalkan Inisiatif Kos Sara Hidup Baucar Kasih Johor, sebuah skim subsidi makanan bersasar yang sedang dalam proses untuk dimuktamadkan.

 

Inisiatif yang bakal dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar itu melibatkan kerjasama komprehensif antara Kerajaan Negeri dan kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM14.9 juta bagi pelaksanaannya yang akan dilakukan secara berfasa mulai tahun 2026.

 

Langkah ini menandakan penyelarasan fiskal PBT yang lebih tersusun, berpaksikan data dan keperluan sebenar rakyat, sekali gus mengangkat Johor sebagai negeri contoh dalam tadbir urus tempatan yang progresif dan berfokuskan keperluan dan kepentingan rakyat.

 

Pelaksanaan Baucar Kasih Johor akan menggunakan platform digital khas bagi memastikan bantuan subsidi yang disalurkan ini akan terus kepada pengguna dan peniaga kecil tanpa sebarang ketirisan. Mekanisme ini dijangka mampu memberi impak segera terhadap kos sara hidup serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

 

Selaras dengan inisiatif ini, semua PBT di negeri ini akan turut menaik taraf kemudahan seperti medan selera, pasar dan ruang niaga mengikut model terbaik, menjadikan persekitaran perniagaan yang lebih moden, selesa dan berdaya saing.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor berucap dalam sesi penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor