INISIATIF TAMBAHAN BERI MANFAAT KEPADA GOLONGAN PENDAPATAN KECIL DAN SEDERHANA

Empat inisiatif baharu diumum termasuk peluasan Jualan Kasih Johor bernilai RM13.7 juta serta bantuan tunai one-off kepada petani, nelayan dan penternak. | Foto arkib MDJ.
#IskandarPuteri – Empat inisiatif di bawah portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor diyakini memberi manfaat secara langsung kepada golongan berpendapatan kecil dan sederhana dalam kalangan petani, penternak dan nelayan serta komuniti luar bandar.
Kesemua inisiatif melibatkan peruntukan RM20.56 juta disambut baik dan amat dihargai oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor dalam satu kenyataan semalam.
Malah, inisiatif-inisiatif berkenaan juga diharapkan bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup malah menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan kemakmuran Bangsa Johor secara menyeluruh.
Empat inisiatif berkenaan merangkumi peluasan program Jualan Kasih Johor berjumlah RM13.7 juta diikuti bantuan tunai RM200 secara ‘one off’ kepada 22,000 petani (RM4.4 juta), 6,629 nelayan (RM1.32 juta), 5,732 penternak (RM1.14 juta).
Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan pelaksanaan inisiatif bantuan kepada warga FELDA dan masyarakat Orang Asli dengan masing-masing berjumlah RM4.62 juta melibatkan 10 inisiatif dan RM3.87 juta dengan sembilan inisiatif.
Semalam, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan 42 inisiatif tambahan melibatkan peruntukan lebih RM209 juta yang memanfaatkan 1.9 juta penerima pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15.
Daripada jumlah berkenaan, 25 inisiatif bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, manakala baki 17 inisiatif pula merangkumi peningkatan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan sosial demi manfaat seluruh Bangsa Johor.
Komitmen Kerajaan Negeri itu dipacu oleh pencapaian positif ekonomi Johor apabila merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri 6.4 peratus, tertinggi dalam negara pada tahun lalu, hasil negeri yang berjaya melepasi angka RM2 bilion, pelaburan mencecah RM56 bilion direkodkan suku kedua tahun ini dan nilai jualan tertinggi dicatatkan dalam sektor pertanian negara iaitu sebanyak RM27.2 bilion.
#JohorSafeZone
#InsentifTambahan
#KosSaraHidup
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor