INSTITUT DATO’ ONN METERAI MoU PERKUKUH JARINGAN INOVASI GLOBAL

Majlis pertukaran MoU antara YBhg Dr. Mohd Azlan Ab. Jalil, Timbalan Pengarah (Pengurusan) IDO dan YBhg. Prof Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Mat Noor, Pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM di pejabat IDO, Bandar Medini Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Institut Dato’ Onn (IDO) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rangkaian Perintis bagi Penyelidikan dan Inovasi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8 NPRI) diketuai oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
MoU tersebut menandakan komitmen bersama negara-negara anggota D-8 terdiri daripada Malaysia diwakili UTM selain Iran, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Indonesia, Mesir dan Azerbaijan dalam memperluas kerjasama rentas sempadan bagi membangunkan teknologi mampan, penyelidikan serta pertukaran kepakaran akademik.
Kerjasama strategik itu merupakan kesinambungan daripada Sidang Kemuncak D-8 NPRI Ke-4 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dari 6 hingga 8 Oktober lalu, yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pemain industri dari lapan negara berkenaan dalam merangka hala tuju inovasi global.
Pemeteraian jalinan kerjasama tersebut secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab penyelidikan dan inovasi serantau selaras dengan aspirasi negeri ini untuk menjadi pusat pembangunan bandar pintar dan teknologi masa depan serta pusat inovasi rantau ASEAN berdaya saing.
Sebagai peneraju inisiatif berteraskan kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran inovatif di negeri ini, IDO menyifatkan MoU yang dimeterai sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta pemindahan teknologi yang mampu memberi impak langsung kepada sektor industri dan masyarakat di Johor.
Terdahulu, berlangsungnya majlis pertukaran MoU antara YBhg Dr. Mohd Azlan Ab. Jalil, Timbalan Pengarah (Pengurusan) IDO dan YBhg. Prof Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Mat Noor, Pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM di pejabat IDO, Bandar Medini Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#IDOJohor
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor