INVEST JOHOR HARGAI PERANAN AGENSI KERAJAAN PACU IMFC-J

YBhg Tuan Haji Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor hadir selaku wakil rasmi YB Tuan Ling Tin Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor ke Majlis Apresiasi Rakan Strategik IMFC-J yang berlangsung di Marina Hotel, Forest City. | Foto MDJ Ariff Nasseem
#IskandarPuteri – Invest Johor menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan dan rakan strategik lain yang telah memain peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan Negeri menjayakan pelaksanaan inisiatif Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).
Penghargaan itu diberikan selepas kejayaan Johor merekodkan pelaburan komited berjumlah RM56.01 bilion atau bersamaan hampir 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Malaysia sehingga suku kedua tahun 2025. Jumlah itu membabitkan RM34.03 bilion adalah daripada aktiviti Pelaburan Asing Langsung (FDI) manakala RM21.98 bilion lagi merupakan Pelaburan Domestik Langsung (DDI).
Selain itu, sebanyak 471 projek telah diluluskan di Johor yang dijangka mampu mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu dengan sektor perkhidmatan mendominasi pelaburan bernilai RM24.26 bilion yang sebahagian besarnya membabitkan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Pusat Data.
Ia diikuti sektor Perkilangan yang turut menyumbang pelaburan kedua tertinggi di Johor dengan nilai RM13.13 bilion yang turut dijana melalui aktiviti subsektor strategik seperti Elektrik & Elektronik (E&E), Kimia dan Pemprosesan Makanan.
Lebih memberangsangkan, pendekatan inovatif Johor Super Lane (JSL) yang dibangunkan oleh IMFC-J bersama rakan teknikal berjaya memendekkan tempoh masa kelulusan projek berimpak tinggi daripada 24 bulan kepada hanya 14 bulan. Inisiatif ini secara tidak langsung telah mempercepat proses pelaburan di Johor tanpa menjejaskan kualiti penyelarasan teknikal dan pematuhan dasar.
Terdahulu, YBhg Tuan Haji Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor hadir selaku wakil rasmi YB Tuan Ling Tin Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor ke Majlis Apresiasi Rakan Strategik IMFC-J yang berlangsung di Marina Hotel, Forest City, hari ini.
#JohorSafeZone
#PelaburanJohor
#IMFCJ
#InvestJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas


