ISU LAMPU JALAN LEBUHRAYA PASIR GUDANG DITANGANI SECARA MENYELURUH

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor komited untuk memastikan sistem pencahayaan di sepanjang laluan Lebuhraya Pasir Gudang berada pada tahap terbaik demi keselamatan pengguna, meskipun laluan itu merupakan Jalan Persekutuan FT17 yang berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Melalui koordinasi antara JKR Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pelbagai tindakan segera, perancangan jangka sederhana dan strategi jangka panjang sedang dilaksanakan secara terancang bagi menangani isu kerosakan lampu di sepanjang kawasan tersebut.
Sebahagian jajaran lebuh raya yang meliputi kawasan BHP Perling hingga Persimpangan Perling sepanjang 1.5 kilometer (KM) berada dalam keadaan baik. Namun, laluan utama bermula dari Persimpangan Perling hingga Bandar Seri Alam/Taman Rinting yang membabitkan jarak sepanjang 23.5 KM merekodkan sebanyak 167 unit lampu jalan yang telah rosak.
Bagi menanganinya, MBJB telah melaksanakan kerja pembaikan kabel bawah tanah dan kelengkapan lampu jalan dengan kos sebanyak RM1 juta dan ia dijangka siap pada 15 Disember 2025, selain turut menggantikan semua lampu sedia ada kepada Lampu LED Pintar membabitkan 1,308 unit bernilai RM6 juta sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
Sementara itu, bagi jajaran Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke MMHE pula, projek pelebaran jalan di bawah JKR juga sedang dilaksanakan. Projek ini juga turut melibatkan pemasangan semula sistem pencahayaan sepanjang 5.3 KM dengan 386 unit lampu baharu yang dijangka siap bermula April hingga Julai 2026 kelak.
Kerajaan Negeri turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi masalah ini menerusi operasi pemantauan berkala sebagai langkah jangka pendek, pembaikan ‘one-off’ bagi kerosakan berulang sebagai langkah jangka sederhana serta penukaran sistem sedia ada kepada lampu berasaskan solar sebagai strategi jangka panjang.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor menjawab mengenai isu lampu jalan di Lebuhraya Pasir Gudang pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



