JDT DAKAP PIALA SULTAN HAJI AHMAD SHAH KE-10

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2025/2026 buat kali ke-10. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim membuktikan ‘jurang’ antara dua seteru utama bola sepak negara masih ‘terlalu dalam’ apabila mudah mengenepikan cabaran Selangor FC 3-0, sekali gus merangkul kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2025/2026 buat kali ke-10 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

 

Seawal wisel permainan ditiupkan, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk menggegar gawang lawan apabila penyerang baharu yang dibawa masuk musim ini, Jairo Da Silva, berjaya menjaringkan gol sulungnya bersama kelab pada minit ketiga hasil hantaran leret kemas daripada Jonathan Silva.

 

Anak buah Xisco Munoz benar-benar mempamerkan aksi permainan yang tersusun dan solid sepanjang perlawanan tanpa memberi peluang kepada Selangor FC untuk melancarkan sebarang percubaan mahupun asakan berbahaya ke arah gawang gol yang dikawal oleh Syihan Hazmi.

 

Bermula babak kedua perlawanan, JDT terus bernafsu mengatur gerakan berbahaya dan hasilnya gol kedua yang dinantikan hadir pada minit ke-64 apabila pemain pertahanan, Eddy Israfilov, menanduk deras hasil daripada hantaran sepakan penjuru berkualiti yang dijana oleh Arif Aiman Hanapi.

 

Gol berkenaan ternyata menyemarakan lagi semangat skuad Harimau Selatan untuk terus mengasak kubu pertahanan Selangor FC dan Arif Aiman membuktikan statusnya sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia apabila berjaya mencetak gol ketiga perlawanan pada minit ke-73 menerusi rembatan kencang padu.

 

Kedudukan 3-0 kekal hingga ke wisel penamat, sekali gus menghadiahkan piala ke-31 dalam koleksi kabinet trofi JDT dan juga mengutip tiga mata penuh dalam aksi yang turut menjadi perlawanan pembuka Liga Super bagi musim 2025/2026.

 

Sementara itu Arif Aiman ketika sidang media selepas perlawanan menyifatkan setiap perlawanan adalah penting dan akan sentiasa melakukan persiapan yang sangat serius, selain yakin kehadiran ramai pemain baharu bagi kempen kali ini mampu membantu pasukan untuk terus memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

 

Arif Aiman memberitahu beliau dan rakannya yang lain tidak berhadapan masalah untuk membentuk keserasian bersama rakan sepasukan baharu kerana sesi latihan intensif dan persiapan pramusim yang diadakan sebelum ini telah memudahkannya untuk memahami setiap corak dan gaya permainan rakannya yang akhirnya diterjemahkan pada malam ini.

 

JDT seterusnya akan meneruskan perlawanan kedua Liga Super Malaysia 2025/2026 dengan menanti kunjungan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Ogos ini.

 

#PialaSultanHajiAhmadShah2025/2026
#PialaSumbangsih2025/2026
#JohorDarulTazim
#Champions
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor