JDV GUNA TEKNOLOGI MODEN, BUKA PELUANG PEKERJAAN DAN AGROPELANCONGAN

Menurut Qasem Alhasan, Ketua Pegawai Eksekutif Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB), semua genetik lembu tenusu A2 baka ‘Jersey Friesian’ telah dioptimumkan agar sesuai dengan persekitaran cuaca di Malaysia melalui inseminasi buatan dan pemilihan genetik bagi memastikan pengeluaran susu sentiasa berkualiti tinggi dan konsisten sepanjang tahun. | Foto MDJ Wira Anggara
#Mersing – Efisien, berinovasi dan berimpak tinggi. Itu antara kata kunci pembangunan Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran susu segar tempatan tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta bakal menjadi destinasi agropelancongan terbaharu di sebelah pantai timur Johor.
Bermula dengan kelompok pertama 1,000 ekor lembu yang tiba pada November tahun lalu, projek ini kini bersiap sedia menyambut kelompok kedua pada September depan, sekali gus menandakan fasa kedua yang dijangka meningkatkan populasi lembu kepada 4,000 ekor dalam tempoh tiga tahun melalui sistem pembiakan moden dan penggunaan teknologi sperma seks (sexed semen).
Menurut Qasem Alhasan, Ketua Pegawai Eksekutif Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB), semua genetik lembu tenusu A2 baka ‘Jersey Friesian’ telah dioptimumkan agar sesuai dengan persekitaran cuaca di Malaysia melalui inseminasi buatan dan pemilihan genetik bagi memastikan pengeluaran susu sentiasa berkualiti tinggi dan konsisten sepanjang tahun.
Sudah beroperasi 100 peratus untuk projek fasa pertama, hasil susu mentah dari JDV kini dijual kepada kilang-kilang tempatan, manakala kilang tenusu JDV yang dijangka beroperasi awal tahun depan bakal menghasilkan pelbagai produk antaranya susu segar, susu berperisa, yogurt dan ais krim yang secara tidak langsung bakal menjadikan projek ini sebagai hab pengeluaran susu bersepadu bertaraf dunia.
Qasem juga berhasrat untuk menjadikan JDV sebagai salah satu destinasi agropelancongan menjelang pertengahan tahun 2027 menerusi perancangan aktiviti untuk pelajar sekolah seperti menunggang kenderaan lasak (ATV), perkhemahan dan mini zoo terlebih dahulu, sebelum fasiliti itu dibuka kepada orang ramai bermula pada 2028.
JDV kini telah menempatkan 60 pekerja tempatan dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 150 pekerja apabila kilang susu siap dibina kelak dengan keutamaan pekerjaan berjawatan tinggi akan diberikan kepada pekerja tempatan yang bakal dilatih dua veterinar ekspatriat bagi memastikan proses perpindahan ilmu dan kemahiran penternakan moden dapat dijayakan sepenuhnya.
Selain itu, pengurusan sisa ladang pula dilaksanakan dengan menggunakan teknologi sifar sisa (zero waste) dari Itali, di mana najis ternakan akan diproses menjadi baja organik, manakala air kitar semula digunakan bagi pengairan tanaman rumput. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos operasi sehingga RM2 juta setahun, malah mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan baja kimia.
Langkah kawalan persekitaran turut diperkukuh melalui pemasangan perangkap lalat dan pelaksanaan semburan kabus (fogging) secara berkala, selain penanaman rumput ternakan secara sendiri di ladang seluas 400 ekar bagi memenuhi keperluan pemakanan sehingga 2,000 ekor lembu.
Dengan kapasiti maksimum 4,000 ekor lembu dan sasaran peningkatan pengeluaran susu daripada 4 juta liter kepada 12 juta liter setahun menjelang 2027, Johor berpotensi muncul sebagai negeri pengeluar susu tertinggi di Malaysia dengan produktivitinya bakal mencecah 30 liter susu bagi setiap ekor lembu sehari, iaitu dua kali ganda daripada purata pengeluaran susu nasional.
#JohorSafeZone
#JemaluangDairyValley
#LembahTenusuJohor
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



