JEJAMBAT DAN PLAZA TOL BAHARU LONJAK MOBILITI SERTA KELANCARAN TRAFIK PASIR GUDANG

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya ke Majlis Perasmian Tanjakan (Jejambat) dan Plaza Tol Bestari Perdana. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#PasirGudang – Komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh infrastruktur negeri terus berjaya direalisasikan melalui pembukaan Projek Tanjakan (Jejambat) dan Plaza Tol Bestari Perdana di Jalan Susur Keluar/Masuk Lebuhraya Senai–Desaru (SDE).

 

Pembukaan tanjakan dan plaza tol baharu melibatkan kos pembinaan berjumlah RM70 juta ini dijangka memendekkan masa perjalanan daripada sekitar 45 minit kepada hanya 15 minit sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di Masai, Kong Kong, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang.

 

Sebagai langkah prihatin, Kerajaan Persekutuan turut mengumumkan kelulusan pemberian tol percuma di Plaza Tol Bestari Perdana bermula hari ini sehingga selepas sambutan Aidilfitri, bagi memberi peluang kepada penduduk setempat menikmati kemudahan infrastruktur baharu tersebut.

 

Plaza tol ini dibina bagi menangani isu kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kecekapan pergerakan harian melibatkan ribuan penduduk setempat, pekerja dan pemain industri yang berulang-alik ke kawasan perindustrian serta pelabuhan utama di timur Johor.

 

Dilengkapi kemudahan transaksi tanpa tunai menerusi dua lorong Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) dan dua lorong Touch ‘n Go (TnG), plaza tol ini juga merupakan sebahagian daripada ‘Pasir Gudang Connector’ (PGC) sepanjang kira-kira 5.1 kilometer menghubungkan terus laluan utama SDE ke Jalan Kong Kong serta Tanjung Langsat.

 

Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta bagi jajaran tambahan sepanjang empat kilometer dari Cahaya Baharu ke Sungai Johor untuk melaksanakan kerja menaik taraf SDE yang telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 53.19 peratus setakat 15 Januari lalu.

 

Projek pelebaran laluan daripada dua kepada empat lorong di lebuh raya berkenaan melibatkan jajaran sepanjang 9.34 kilometer bermula dari Jambatan Sungai Johor hingga Sungai Semenchu sebelum ini diumumkan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM128.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya ke Majlis Perasmian Tanjakan (Jejambat) dan Plaza Tol Bestari Perdana, hari ini.

 

#JohorSaveZone
#PlazaTolBestariPerdana
#PasirGudang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor