JKNJ LAKSANA PELBAGAI STRATEGI TANGANI MASALAH KESIHATAN MENTAL


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelbagai strategi dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi menangani masalah kesihatan mental di kalangan rakyat negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, isu kesihatan mental atau gangguan emosi terutama pasca pandemik COVID-19 adalah masalah global.

 

“Antara strategi yang telah dilaksanakan oleh JKNJ bagi menangani masalah kesihatan mental di kalangan penduduk Johor adalah promosi dan pendidikan kesihatan mental, pengesanan awal masalah kesihatan mental, intervensi atau rawatan dan kesiapsiagaan bencana,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Balang, Selamat Takim mengenai usaha JKNJ menangani masalah jiwa di kalangan rakyat negeri ini yang terjejas.

 

Tian Soon berkata, isu kesihatan mental perlu ditangani secara holistik dengan mengenalpasti punca kepada perubahan emosi.

 

Ujarnya, punca tersebut kemudiannya ditangani agar gangguan emosi tidak berpanjangan dan berakhir dengan penyakit mental.

 

“Antara puncanya adalah kehilangan pekerjaan dan isu kewangan. JKNJ menyediakan perkhidmatan untuk membantu klien beradaptasi dengan situasi baru dan bagaimana untuk menghadapi kecelaruan emosi.

 

“Akan tetapi, punca (root cause) kepada gangguan emosi ini memerlukan penglibatan pelbagai agensi yang berkepentingan,” katanya.

 

Beliau berkata, komponen pemerkasaan masyarakat terhadap penjagaan dan pemeriksaan kesihatan kendiri meliputi kesihatan fizikal dan mental yang terkandung dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

 

“Dengan itu, semua ketua masyarakat atau agensi serta setiap individu perlu cakna tentang status kesihatan serta melaksanakan pemeriksaan kesihatan kendiri bukan sahaja dalam kesihatan fizikal malah kesihatan mental juga,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor