JKNJ SAMBUT BAIK USAHA KERAJAAN ATASI KESESAKAN HOSPITAL AWAM

YBrs. Dr. Haji Mohtar Pungut, Pengarah Kesihatan Negeri Johor pada perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 dan MENTARI Johor Bahru, pusat kesihatan mental komuniti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di UTC Johor di Galleria @ Kotaraya. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan mengatasi isu kesesakan di hospital awam di negeri ini, menerusi inisiatif dibentangkan dalam Belanjawan 2026 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada Jumaat lalu.
Antara inisiatif diumumkan adalah pembinaan blok tambahan baharu di Hospital Pontian, dekat Pontian yang dijangka mampu memberikan impak besar dalam aspek penjagaan kesihatan berkualiti menerusi naik taraf fasiliti sedia ada seiring dengan keperluan semasa penduduk di daerah berkenaan.
Pembinaan blok tambahan itu kini berada di peringkat kerja awalan dan kapasiti katil di hospital tersebut juga dijangka meningkat kepada jumlah yang lebih besar disertai dengan penambahan pelbagai kemudahan serta kelengkapan baharu apabila bangunan tersebut siap sepenuhnya.
Selain itu, penyegeraan projek Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) yang bakal berperanan sebagai sokongan perkhidmatan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru susulan jumlah kapasiti pesakit tertinggi di negeri ini, kekal menjadi keutamaan dan kerja-kerja pelaksanaan masih dalam tindakan.
Pembinaan blok tambahan baharu di Hospital Pontian dan penyegeraan HSA 2 mencerminkan kesungguhan serta komitmen bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memberikan keutamaan meningkatkan infrastruktur mahupun prasarana kesihatan demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Terdahulu, YBrs. Dr. Haji Mohtar Pungut, Pengarah Kesihatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 dan MENTARI Johor Bahru, pusat kesihatan mental komuniti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di UTC Johor di Galleria @ Kotaraya, hari ini.
#JohorSafeZone
#KesihatanMental
#MENTARIJohorBahru
#Belanjawan2026
#BelanjawanMADANI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor