JMR GALAS CABARAN DI PERLUMBAAN SUZUKA 1000

Jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang digunakan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor ke perlumbaan berprestij Suzuka 1000. | Foto JOHOR Racing
#IskandarPuteri – YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor bakal menggalas cabaran Johor Motorsports Racing (JMR) ke perlumbaan berprestij Suzuka 1000 yang akan berlangsung di Jepun pada 12 hingga 14 September ini.
Penyertaan dalam perlumbaan kali ini membawa makna besar apabila JMR akan tampil dengan dua pasukan iaitu Pro dan Pro-Am menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang ternyata telah berjaya membawa kejayaan kepada pasukan itu dalam siri GT World Challenge Asia 2025, sebelum ini.
YAM Tunku Abdul Rahman dan YAM Tunku Abu Bakar akan digandingkan bersama pelumba dari Finland, Konsta Lappalainen bagi bersaing dalam kategori Pro-Am, manakala pemandu bertaraf dunia yang juga juara tiga kali Supercars Australia, Scott McLaughlin akan memperkuat pasukan JMR bagi kategori Pro.
Pelumba Indycar itu juga akan bersama dua pemandu Corvette Racing, Alexander Sims dan Nicky Catsburg dalam penampilan sulung pasukan JMR di pentas perlumbaan penuh berprestij edisi ke-49 kali ini.
Bagi YAM Tunku Abdul Rahman, sudah menjadi hasratnya untuk berlumba di pentas Suzuka 1000 dengan penyertaan sulung bersama pasukan JMR Pro merupakan sebahagian daripada perancangan asal, selain percaya kehadiran Alexander dan Nicky menjadi ‘tonik’ terbaik buat pasukan dalam perlumbaan ini.
Justeru, penyertaan JMR di Suzuka 1000 bukan sahaja mengangkat nama Johor dan Malaysia di pentas global, tetapi melonjakkan lagi status Johor Motorsports Racing untuk terus bersaing sebagai antara kuasa baharu sukan permotoran Asia yang perlu diberi perhatian dan dihormati.
#SukanMDJ
#JohorMotorsportsRacing
#Suzuka1000
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor