JOHOR BAKAL PENYUMBANG UTAMA INDUSTRI SARANG BURUNG WALET


YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (dua dari kanan) mendengar taklimat ringkas oleh (tiga dari kiri) Tuan Eric Shak, Ketua Pegawai Eksekutif, Glyken International Berhad semasa lawatan ke makmal di pusat kemudahan bioteknologi Glyken di Iskandar Puteri.

 

Negeri Johor bakal menjadi penyumbang utama pertumbuhan industri sarang burung walet di negara ini, menerusi pembukaan kemudahan bioteknologi baharu Glyken International Berhad (Glyken) bernilai RM6.6 juta di Kawasan Perindustrian SiLC.

 

Kemudahan canggih berkeluasan 29,220 kaki persegi itu dibangunkan hasil sokongan dan kerjasama diberikan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).

 

Glyken dapat menjalankan penyelidikan berterusan di samping menyepadukan teknologi Industri Revolusi 4.0 dengan aplikasi bioteknologi dalam proses pembuatan dan mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 10 jenis produk berasaskan sarang burung walet dianggarkan bernilai RM25 juta setahun.

 

Keupayaan berkenaan sekali gus akan menyokong pertumbuhan industri sarang burung walet ke arah mencapai sasaran pasaran eksport sebanyak 350,000 kilogram yang bernilai RM2.8 bilion menjelang tahun 2030.

 

Terdahulu, perasmian pusat bersepadu berkenaan telah disempurnakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di mana Glyken turut melancarkan platform pemasaran berasaskan kod QR untuk mikro-keusahawanan bagi meningkatkan kebolehcapaian produk mereka kepada pelanggan.

 

Melalui bantuan dan kerjasama Bioeconomy Corporation, Glyken berjaya memajukan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan melalui anak syarikat mereka iaitu Glyken Bio-Products Sdn. Bhd.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor