JOHOR BANGUNKAN POLISI PEMBANGUNAN HIJAU 2030, PERKUKUH AGENDA KELESTARIAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Polisi Pembangunan Hijau (PPHJ) 2030 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru, semalam. | Foto Permodalan Darul Ta’zim
#IskandarPuteri – Agenda kelestarian Johor terus diperkukuh apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan melancarkan Polisi Pembangunan Hijau Johor (PPHJ) 2030 yang menjadi kerangka utama memacu hala tuju pembangunan hijau negeri.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan merasmikan Raja Zarith Sofiah Learning Centre dan Pusat Kelestarian Johor (JSC) di Tunku Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru, yang secara tidak langsung menjadi antara nadi utama dalam penyelarasan inisiatif hijau di peringkat Negeri Johor.
PPHJ 2030 dirangka melalui kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) dan Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (ISIUTM), serta turut membabitkan libat urus meluas bersama agensi dan jabatan Negeri serta Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri.
Pelaksanaan polisi ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi hijau, memperkasa penggunaan teknologi hijau dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kelestarian, dengan sasaran utama penyempurnaan inisiatif ini menjelang 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan teknologi hijau bertaraf antarabangsa.
Bagi tujuan itu, PDT akan memainkan peranannya sebagai agensi pelaksana yang menyelaras strategi serta menjadi penghubung antara kerajaan, pelabur dan industri, selain bertanggungjawab menyediakan polisi berfasa mengikut sektor utama untuk pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri melalui Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor (MPHNJ) pula akan melaksanakan pemantauan berkala bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif, strategi dan program sebagaimana digariskan dalam PPHJ 2030, agar matlamat inisiatif ini sentiasa berada pada landasan yang disasarkan menjelang 2030.
Komitmen memperkukuh agenda kelestarian ini turut diterjemahkan melalui Pertukaran Dokumen Usahasama bagi penerokaan pelaburan dalam Southern Johor Renewable Energy Corridor (SJREC) antara PDT, International Finance Corporation (World Bank) dan Ditrolic Energy Holdings Sdn. Bhd., bagi memperluas potensi tenaga boleh diperbaharui di selatan Johor.
Turut dimeterai ialah Memorandum Usahasama (MoC) antara PDT dan Yinson Mobility Sdn. Bhd., anak syarikat Yinson GreenTech, bagi meneroka peluang perniagaan dalam industri kenderaan elektrik, sekali gus menepati usaha Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem mobiliti rendah karbon di Johor.
#JohorSafeZone
#JohorGreenDeal
#PusatKelestarianJohor
#PolisiPembangunanHijauJohor2030
#PPHJ2030
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


