JOHOR BERADA LANDASAN KUKUH SEBAGAI HAB EKONOMI DAN TEKNIKAL NEGARA

YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Johor terus berada pada landasan kukuh sebagai hab ekonomi dan teknikal paling dinamik negara susulan suntikan pembangunan berjumlah RM11.43 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini, yang mengukuhkan usaha merealisasikan agenda Maju Johor 2030.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.24 bilion disalurkan bagi projek pra-pembinaan dan pembinaan, manakala baki RM1.19 bilion diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan, bangunan dan cerun yang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur fizikal, keselamatan dan kemudahan asas di negeri ini.
Hubungan strategik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut diperkasakan melalui pelbagai pelan kolaborasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan projek pembangunan di Johor dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berimpak tinggi terhadap pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, hadir menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Sambutan HPTN 2025 berlangsung selama dua hari di negeri ini, yang bertujuan mengiktiraf sumbangan profesional teknikal menyerlahkan peranan Johor dalam memperkasa ekosistem teknikal negara.
Selain itu, sambutan turut menjadi platform pendedahan awal kepada generasi muda dalam bidang berasaskan sains, matematik dan teknologi termasuk robotik, ‘Internet of Things’ (IoT), serta inovasi kecerdasan buatan (AI).
#JohorSafeZone
#HPTN2025
#ProfesionTeknikal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


