JOHOR BUKTI KEUPAYAAN URUS FISKAL, BANTU RAKYAT SECARA BERSASAR

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor menjelaskan kecekapan pengurusan hasil dan disiplin perbelanjaan membolehkan Johor kekal stabil pasca pandemik serta merekodkan lebihan belanjawan tiga tahun berturut-turut. | Foto FB Hasni Mohammad
#IskandarPuteri – Menjelang pembentangan Belanjawan Johor 2026 pada 13 November depan menyaksikan kedudukan prestasi ekonomi negeri pada tahun ini telah membuktikan tahap ketahanan asas fiskal yang kukuh dan dasar mesra pelabur yang bukan sahaja membantu Johor menarik pelaburan baharu, malah turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus memastikan rakyat tidak pernah terpinggir dalam arus pembangunan pesat negeri.
Kecekapan pengurusan terimaan hasil dan disiplin perbelanjaan membolehkan Johor mencapai kestabilan ekonomi selepas pandemik Covid-19 serta merekodkan lebihan belanjawan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut tanpa menjejaskan sebarang agenda pembangunan negeri, jelas YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor.
Keteguhan fiskal ini menjadi bukti Johor bukan sahaja mampu mengurus ekonomi secara berhemah, tetapi dapat berkongsi rezeki limpahan ekonomi yang diraih menerusi pelbagai inisiatif bantuan bersasar kepada golongan memerlukan termasuk petani, nelayan, pemandu ‘e-hailing’ dan ibu tunggal menerusi pembentangan belanjawan tambahan pada September lalu.
Justeru, bagi menambah baik penyaluran bantuan ‘one-off’ berkenaan, Ahli Dewan Negeri kawasan Benut itu mencadangkan agar pendekatan berasaskan data melalui koordinasi antara jabatan dan agensi berkaitan perlu diwujudkan bagi memastikan setiap bantuan yang dirancang dapat diagih secara adil dan telus, sekali gus memperkukuh keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri yang sentiasa berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, struktur ekonomi melalui pelaburan berimpak tinggi termasuk pembangunan pusat data dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang menambah hasil baharu serta merangsang pertumbuhan industri sokongan perlu terus diperkasa bagi memastikan Johor kekal berdaya saing dan menjadi pemacu utama ekonomi serantau.
Pertumbuhan ekonomi Johor yang seimbang dan tidak hanya tertumpu di wilayah selatan turut dizahirkan melalui pelaburan strategik di luar kawasan JS-SEZ, antaranya ialah projek Maharani Energy Gateway di Muar yang merekodkan nilai pelaburan melebihi RM11 bilion, sekali gus menepis tanggapan bahawa pembangunan hanya tertumpu di bahagian selatan dan seterusnya membuktikan ia juga turut dilaksanakan secara inklusif di seluruh daerah di Johor.
Justeru, sokongan berterusan Kerajaan Negeri dan Persekutuan terhadap institusi pelaburan seperti Invest Johor, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dapat memperkukuhkan lagi daya saing negeri dengan melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri global.
Dengan kekuatan fiskal, pelaburan strategik dan kemampuan menyalurkan bantuan bersasar kepada rakyat, Belanjawan Johor 2026 yang bakal dibentang oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diyakini akan mengukuhkan kedudukan Johor di landasan yang tepat untuk muncul sebagai sebuah negeri maju, makmur dan lestari menjelang tahun 2030.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



