‘JOHOR HERITAGE RANGERS’ DEKATKAN MURID DAN NILAI SEJARAH WARISAN JOHOR

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor mengadakan perbincangan berkaitan pelaksanaan program Johor Heritage Rangers bersama Yayasan Warisan Johor. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor merancang untuk melaksanakan program ‘Johor Heritage Rangers’ bagi mendekatkan murid dengan sejarah, warisan serta tokoh-tokoh negeri menerusi kerjasama erat antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Program yang merupakan antara inisiatif di bawah Belanjawan Johor 2026 ini dijangka akan memberi peluang kepada pelajar dan guru dari 1,196 sekolah di seluruh Johor untuk mengenali khazanah sejarah dan warisan negeri dengan lebih dekat.
Antara pengisian yang dirancang termasuk lawatan murid ke Muzium Tokoh Johor dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) YWJ, sekali gus memberi pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah yang lebih dekat dengan sejarah yang terdapat di negeri ini.
Muzium Tokoh Johor yang mengetengahkan kisah perjuangan, kepimpinan serta sumbangan tokoh-tokoh terbilang Johor menerusi pelbagai galeri berkaitan pentadbiran, politik, pendidikan, kesusasteraan, ekonomi, sukan dan pembangunan negeri.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu murid memahami sejarah secara lebih dekat dan nyata, malah ia turut membuka ruang untuk mereka menghayati nilai jati diri, kepimpinan, perpaduan serta kecintaan kepada tanah air.
Program berkenaan diharap dapat menjadi platform pendidikan warisan yang lebih menarik, interaktif dan dekat dengan generasi muda, selain menyemai rasa bangga mereka terhadap sejarah serta identiti sebagai Bangsa Johor.
Kerajaan Johor juga komited untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah memahami, menghargai dan mampu meneruskan legasi sejarah serta warisan negeri kepada generasi akan datang.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor mengadakan perbincangan berkaitan pelaksanaan program Johor Heritage Rangers bersama Yayasan Warisan Johor.
#JohorSafeZone
#JohorHeritageRangers
#WarisanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


