JOHOR OPTIMIS RAIH TERIMAAN HASIL RM2.5 BILION HUJUNG TAHUN INI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis perasmian Jelajah Orang Johor (JOJ) Daerah Kluang Tahun 2025 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam, Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Kerajaan Johor yakin mampu mencapai kutipan terimaan hasil negeri berjumlah RM2.5 bilion menjelang akhir tahun ini, dengan setiap terimaan hasil berkenaan akan dipastikan dapat dikembalikan kepada rakyat supaya setiap Bangsa Johor akan merasai manfaatnya secara langsung.

 

Peningkatan terimaan hasil negeri daripada RM2.1 bilion yang diraih pada tahun lalu bukan hanya dilihat pada nilai angka semata-mata, sebaliknya Kerajaan Negeri komited untuk menterjemahkannya dengan merangka pelbagai inisiatif baharu demi kesejahteraan rakyat di semua peringkat.

 

Tumpuan utama Kerajaan Negeri adalah menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan di tiga daerah terlibat, tetapi hasilnya akan turut diagihkan ke-10 daerah di seluruh Johor bagi memastikan setiap pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih holistik.

 

Kluang antara daerah yang bakal menerima limpahan pembangunan hasil pertumbuhan ekonomi negeri, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang lebih inklusif bagi memanfaatkan infrastruktur pengangkutan apabila Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) dari Kuala Lumpur ke sini sudah mula beroperasi.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berucap merasmikan majlis perasmian Jelajah Orang Johor (JOJ) Daerah Kluang Tahun 2025 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam, Kluang hari ini.

 

Hadir sama ialah YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YBhg Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang.

 

Program JOJ cetusan idea YAB Menteri Besar Johor menjadi wadah terbaik dalam usaha merapatkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, selain menggembleng tenaga seluruh lapisan masyarakat bagi menjayakannya inisiatif berkenaan, sekali gus menyerlahkan semangat kebersamaan Bangsa Johor dalam menjayakan agenda menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

 

#JohorSafeZone
#WTN
#JohorHomeOfChampions
#JelajahOrangJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor