JOHOR PERKASA KEPAKARAN, BINA EKOSISTEM INDUSTRI REL MASA HADAPAN

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor hadir merasmikan Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor di UTHM sempena Program Rel Merdeka 69: Menjejaki Sejarah, Memacu Aspirasi, semalam. | FB YB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Johor akan terus memperkukuh kedudukannya dalam industri rel dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran, inovasi dan bakat tempatan, seiring dengan perkembangan jaringan pengangkutan rel di negeri ini.
Perkembangan industri berkenaan bakal membuka peluang lebih luas dalam bidang kejuruteraan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan, penyelenggaraan serta teknologi rel, khususnya menerusi pembangunan ETS Gemas–Johor Bahru dan Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru–Singapura.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan turut memainkan peranan penting sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri menerusi penubuhan Industry Centre of Excellence for Railway (ICoE-Rel) serta Metro System Academy (MSA) bagi membangunkan jurutera, penyelidik dan tenaga mahir tempatan.
Pendekatan tersebut selari dengan hasrat Johor untuk tidak sekadar menjadi lokasi pembangunan projek rel semata-mata, sebaliknya turut berupaya membina kepakaran dan keupayaan sendiri bagi membentuk ekosistem industri yang mampu menyokong keperluan sektor berkenaan dalam tempoh jangka panjang.
Selain itu, cadangan mewujudkan sebuah majlis khas berkaitan jaringan kereta api Johor juga turut dibincangkan bagi menghimpunkan Kerajaan Negeri, agensi, institusi akademik dan pemain industri untuk menyelaras pembangunan jaringan rel, bakat, penyelidikan serta inovasi secara lebih strategik.
Johor menyasarkan pembangunan sektor ini bukan sahaja melahirkan tenaga mahir tempatan, malah ia juga berpotensi muncul sebagai pusat kecemerlangan, kepakaran dan inovasi industri rel bagi Malaysia serta rantau ini.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor hadir merasmikan Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor di UTHM sempena Program Rel Merdeka 69: Menjejaki Sejarah, Memacu Aspirasi, semalam.
#JohorSafeZone
#PengangkutanJohor
#IndustriRel
#TVET
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



