JOHOR PERKASA TANAMAN LADA, MAHU KEMBALIKAN KEGEMILANGAN INDUSTRI

Kerajaan Johor komited memperkasakan sektor pertanian berasaskan tanaman bernilai tinggi. | Foto FB Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor komited memperkasakan sektor pertanian berasaskan tanaman bernilai tinggi seperti lada hitam dan lada putih yang dilihat mampu memberi pulangan pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.
Menerusi usaha ini juga, ia secara tidak langsung berupaya mengembalikan semula sejarah lama Negeri Johor yang pernah menjadi negeri pengeluar utama lada hitam di negera ini hingga dikenali di seluruh dunia.
Bagi tahun 2024, tanaman kedua-dua jenis lada ini meliputi kawasan seluas 20 hektar di Johor yang melibatkan seramai 95 orang pengusaha dengan jumlah pengeluaran tahunan mencecah 96.9 tan metrik, sekali gus memperlihatkan usaha sama Kerajaan Johor dan para pengusaha dalam merancakkan dan merancakkan pengeluaran hasil tanaman komoditi itu.
Justeru, bagi mempergiatkan lagi pembangunan industri ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 pada tahun lalu bagi tujuan tambahan 10 hektar kawasan baharu dengan sasaran penglibatan 40 hingga 50 pengusaha melibatkan 20,000 pokok lada tambahan yang dilaksanakan secara berperingkat.
Usaha ini selaras dengan matlamat Kerajaan Johor untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, selain menggalakkan penglibatan lebih ramai pengusaha tempatan dalam industri pertanian berimpak tinggi.
Sementara itu, Kerajaan Negeri juga turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri buah-buahan, khususnya durian melibatkan peruntukan signifikan sebanyak RM2 juta yang diperuntukkan bagi tahun 2025 menerusi kerjasama bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Peruntukan ini telah memberi manfaat kepada 341 usahawan tani termasuk pekebun kecil dan sederhana, melibatkan kawasan tanaman seluas 650 hektar sebagai langkah memastikan industri buah-buahan ini terus menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri dengan sasaran peningkatan pengeluaran melebihi 900,000 tan metrik setahun menjelang tahun 2027.
Selain durian, tumpuan turut diberikan kepada buah-buahan tropika lain seperti kelapa, nanas, pisang, nangka, jambu batu, tembikai dan betik dengan melibatkan penyertaan aktif daripada pengusaha tempatan di seluruh Johor.
#Lada
#Pertanian
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor