JOHOR PERKENAL ENAKMEN HOTEL, PERKUKUH INDUSTRI PERHOTELAN

Kerajaan Johor memperkenalkan Enakmen Hotel Johor 2025 sebagai kerangka undang-undang baharu yang lebih moden dan seragam untuk menyelaras industri perhotelan di seluruh negeri. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Ekosistem industri perhotelan di negeri ini terus disemarakkan apabila Kerajaan Negeri Johor memperkenalkan Enakmen Hotel Johor 2025 sebagai rangka perundangan baharu yang lebih tersusun, moden dan seragam bagi mengawal selia industri perhotelan di seluruh negeri ini.
Bersandarkan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa jelas kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan perkhidmatan tempatan, enakmen ini bakal menjadi instrumen penting bagi memastikan hotel, rumah tumpangan dan penginapan di Johor dapat beroperasi secara teratur, telus dan profesional.
Seiring dengan usaha memperkemas tadbir urus, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Caj Kembara bernilai RM3 bagi pengunjung yang menginap, selaras amalan yang turut dipraktikkan di beberapa negeri lain seperti Melaka, Pahang, Perak dan Pulau Pinang yang bertujuan untuk menyokong pembangunan infrastruktur serta kemudahan pelancongan.
Statistik rasmi Tourism Malaysia menunjukkan sektor pelancongan Johor kekal dinamik dengan merekodkan 10,397,810 penginap hotel pada tahun 2024, meningkat 8.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menterjemah perkembangan pesat industri berkenaan dan menyokong keperluan rangka kawal selia yang lebih mantap dan moden.
Bagi memastikan enakmen ini difahami dengan jelas, satu sesi libat urus komprehensif telah diadakan pada 24 Oktober lalu yang melibatkan semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, Tourism Johor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Johor, persatuan pelancongan serta penggiat industri yang membolehkan Kerajaan Negeri merumuskan dasar yang seimbang, praktikal dan berpaksikan kepentingan semua pihak.
Melalui Enakmen Hotel Johor 2025 ini, segala keperluan lesen, pematuhan operasi, keselamatan dan pengurusan kewangan akan diperjelas bagi meningkatkan profesionalisme industri, manakala kutipan Caj Kembara akan disalurkan ke akaun amanah khas bagi tujuan menyokong penambahbaikan infrastruktur pelancongan, kemudahan awam dan inisiatif Tahun Melawat Johor 2026.
Selain itu, aspek penguatkuasaan seperti kuasa siasatan, penggeledahan, penutupan hotel tidak berlesen dan tindakan tegas terhadap premis yang melanggar syarat keselamatan atau menghalang tugas pegawai akan diperkukuh menerusi pelaksanaan enakmen ini, sekali gus memastikan operasi hotel yang lebih teratur dan selari dengan imej Johor sebagai destinasi pelancongan yang berkualiti dan selamat.
Pelaksanaan Enakmen Hotel Johor 2025 ini diyakini mampu mengangkat profesionalisme industri perhotelan, meningkatkan keselamatan pengguna dan memperkukuh daya saing pelancongan negeri, sekali gus menempatkan Johor di landasan tepat menuju pembangunan pelancongan yang lebih progresif menjelang Tahun Melawat Johor 2026 tidak lama lagi.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


