JOHOR PERKUKUH BEKALAN AIR MELALUI LRA BAHARU DAN PROJEK ‘REZONING’

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan pembangunan infrastruktur air secara menyeluruh bagi memastikan bekalan air terawat di negeri ini sentiasa mencukupi dan mampan sehingga tahun 2030.

 

Ia berikutan jangkaan peningkatan penggunaan air terawat daripada 2,037 juta liter sehari (JLH) pada tahun 2025 kepada 2,700 JLH menjelang 2030, selari dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan industri serta pembangunan pusat data di negeri ini.

 

Bagi tujuan itu, sebanyak lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu sedang dirancang dan bakal dilaksanakan bersama Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bertujuan untuk memastikan kapasiti bekalan air bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi juga mencukupi sehingga 2035, seiring perkembangan pesat negeri Johor.

 

Dua projek utama kini dalam fasa pembinaan iaitu LRA Pakej Plant Semangar bernilai RM70 juta dengan kapasiti 50 JLH yang dijangka siap pada 2026 bagi membekalkan ke kawasan Kulai dan Sedenak, manakala LRA Layang 2 Fasa 2 bernilai RM114 juta dan berkapasiti 160 JLH dijangka siap pada 2027 untuk memenuhi keperluan pengguna di kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

 

Sementara itu, projek LRA Semangar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong bernilai RM750 juta dan RM537 juta kini berada dalam fasa reka bentuk dan apabila siap kelak, ia berupaya membekalkan 290 JLH kepada pengguna di sekitar kawasan Johor Bahru, Kulai dan Pontian, sekali gus bakal memberikan penambahan signifikan terhadap kapasiti rawatan air negeri ini.

 

Selain pembangunan LRA baharu, projek ‘rezoning’ bernilai RM1.02 bilion turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai. Projek berkenaan akan merangkumi empat pakej utama termasuk naik taraf sistem agihan di Pasir Gudang, Kempas Banjaran, Impian Emas, Johor Jaya dan Sutera Utama serta pemasangan paip baharu dari LRA Semangar ke Bukit Kulai Reservoir dan dari Masai ke U4.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, menjawab pertanyaan mengenai status terkini projek LRA serta usaha menjamin bekalan air bersih mencukupi sehingga tahun 2030 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BekalanAirMampan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor