JOHOR PERKUKUH PENGURUSAN SISA BUANGAN TERJADUAL BERPIAWAIAN ANTARABANGSA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Pecah Tanah JISWH di Mukim Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#KotaTinggi – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar menerusi pembangunan Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual Negeri Johor (JISWH) yang merupakan fasiliti pengurusan sisa buangan pertama di Johor.
Projek berimpak tinggi bernilai RM310 juta dilaksanakan melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) itu dilihat sebagai langkah strategik Kerajaan Negeri dalam menangani isu pengurusan sisa buangan terjadual dan pencemaran alam sekitar secara sistematik, selamat serta menepati keperluan piawaian antarabangsa.
Dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, JISWH akan berfungsi sebagai hab bersepadu merangkumi loji rawatan termal, loji solidifikasi, loji rawatan fizikal dan kimia serta tapak pelupusan selamat seluas 86.7 ekar yang akan dikawal selia ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Kewujudan JISWH juga dijangka akan menyokong sasaran sifar sungai tercemar menjelang tahun 2030 yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dengan kejayaan berjaya menurun angka sungai tercemar daripada 14 kepada sembilan sungai pada tahun 2024, sebelum dijangka akan terus menurun kepada enam sungai pada tahun ini.
Pembangunan JISWH juga akan berpotensi menjadi pemangkin peningkatan pelaburan industri di Johor menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) apabila fasiliti tersebut menyediakan ekosistem sokongan yang kukuh kepada pelabur dengan menepati amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang cekap serta mampan.
Projek ini juga dijangka memberi impak sosioekonomi apabila bakal mewujudkan kira-kira 150 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai peringkat kelayakan dan kemahiran, sekali gus memberi keutamaan kepada anak-anak Johor dan komuniti setempat untuk mengisi perjawatan berkenaan, kelak.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah JISWH di Mukim Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi, hari ini.
#JohorSafeZone
#JISWH
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


