JOHOR PERLUAS INISIATIF RINGAN KOS SARA HIDUP RAKYAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni salah seorang pengusaha pada Program Jualan Kasih Johor. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri akan memperluas pelaksanaan Program Jualan Kasih Johor dan Jualan Rahmah untuk membantu rakyat di negeri ini, mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin mencabar.
Komitmen untuk terus membela kebajikan rakyat secara menyeluruh itu dizahirkan dalam Mesyuarat Task Force Kos Sara Hidup Negeri Johor dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang turut menumpukan pelaksanaan langkah praktikal bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara adil, telus dan mudah diakses termasuk bantuan digital seperti e-baucar.
Johor berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi dalam negara pada kadar 6.4 peratus pada tahun 2024 selain telah merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia berjumlah RM30.1 bilion pada suku pertama 2025 dan terus kekal sebagai peneraju eksport pertanian negara.
Pencapaian signifikan itu bagaimanapun disifatkan Kerajaan Negeri perlu diterjemahkan kepada kemampuan rakyat membeli makanan pada harga berpatutan, memperoleh pendapatan mencukupi dan menikmati akses kepada perumahan, pendidikan serta kesihatan berkualiti dan mampu milik.
Kerajaan Negeri juga mahu setiap dasar dan inisiatif digerakkan secara menyeluruh, terancang dan terkoordinasi dengan penglibatan semua jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemimpin masyarakat demi memastikan segala cabaran termasuk kos sara hidup dapat diatasi bersama.
Untuk rekod, Jualan Kasih Johor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri diperkenalkan pada tahun 2023 yang menjadi strategi serampang dua mata bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, tetapi juga meningkatkan pendapatan pengusaha dan petani dalam sektor agromakanan melalui jualan secara terus kepada pengguna.
#TaskForce
#KosSaraHidup
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor