JOHOR SEDIA JADI PENERAJU TEKNOLOGI KUANTUM ASEAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian Sidang Kemuncak Kuantum ASEAN 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Johor sebagai peneraju pembangunan teknologi berimpak tinggi khususnya dalam bidang teknologi kuantum sekali gus muncul sebagai salah satu hab teknologi berpotensi di ASEAN.

 

Keyakinan tersebut dipacu melalui pewujudan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi serantau didorong oleh kelebihan lokasi strategik, infrastruktur maju dan keterhubungan rentas sempadan yang kukuh.

 

Selain itu, usaha ini turut diterjemahkan melalui peranan aktif Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam melahirkan bakat kuantum dan teknologi mendalam (deep-tech) berkemahiran tinggi yang akan memperkukuhkan ekosistem teknologi kuantum negeri.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian Sidang Kemuncak Kuantum ASEAN 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

 

Penganjuran sidang kemuncak ini oleh UTM bersama rakan kolaborasi seperti UTMSPACE dan Inisiatif Maklumat Kuantum Malaysia (MyQI) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menerajui bidang teknologi baharu ini.

 

Melalui Belanjawan Johor 2026 di bawah Teras 2: Pembangunan Ekonomi, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 untuk pelaksanaan program tersebut bagi memupuk pemahaman, kebolehcapaian dan penggunaan teknologi kuantum dalam industri serta kalangan negara ASEAN.

 

Selain itu, turut diadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan dokumen kerjasama strategik antara UTM dengan Pusat Maklumat Kuantum dan Biologi Kuantum (QIQB), Universiti Osaka, Jepun serta AQSolotl Pte. Ltd., syarikat teknologi kuantum dari Singapura.

 

#JohorSafeZone
#ASEANQuantumSummit2025
#TeknologiKuantum
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor