JOHOR SEDIA KUKUH LAGI INDUSTRI TANAMAN DURIAN

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir menyempurnakan Karnival Durian Daerah Tangkak 2025 di Dataran Tangkak. | Foto FB Zahari Sarip

 

#Tangkak – Kerajaan Negeri bersedia untuk terus menyokong dan memperkukuhkan lagi pembangunan industri penanaman durian yang dilihat sangat berpotensi dan mampu menjana pendapatan lumayan kepada pengusaha tempatan.

 

Johor merupakan negeri yang mempunyai kawasan tanaman buah-buahan terbesar iaitu seluas 47,800 hektar atau 32.5 peratus termasuk ‘raja buah’ daripada keseluruhan kawasan bertanam buah-buahan di negara ini.

 

Daripada keluasan berkenaan, kira-kira 23,690 hektar atau 49.6 peratus adalah kawasan durian dengan pengeluaran mencecah 189,787 tan metrik setahun terutama di Segamat, Tangkak, Muar dan Batu Pahat yang memiliki dusun-dusun berskala besar.

 

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, durian Johor turut menyumbang
sebanyak 7.2 daripada 13 juta kilogram eksport durian Malaysia ke pasaran antarabangsa meliputi lebih 20 buah negara antaranya Singapura, China, dan Hong Kong selaku pengimport utama dengan nilai anggaran RM339 juta sehingga tahun ini.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir menyempurnakan Karnival Durian Daerah Tangkak 2025 di Dataran Tangkak pada Ahad.

 

Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Yosri Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor ; YBhg. Tuan Haji Ts. Mohd Johari Tarmidi, Pegawai Daerah Tangkak; YBhg. Tuan Haji Mohd Nazid Jasiman, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak dan YB Tuan Ee Chin Lee, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Tangkak.

 

Penganjuran Karnival Durian Daerah Tangkak 2025 oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor menjadi langkah proaktif mempromosikan durian tempatan sekali gus merancakkan ekosistem agropelancongan di daerah yang popular dengan raja buah itu.

 

#DurianJohor
#RajaBuah
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor