JOHOR SEDIA PERKUKUH KERJASAMA JAYAKAN ASEANTOM 2025

YAB Dato’ Seri Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Pembukaan Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) 2025 Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Johor menzahirkan komitmen penuh dalam menyokong kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah Mesyuarat Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) 2025 yang menjadi antara platform penting dalam usaha memperkukuhkan soal keselamatan dan kawal guna tenaga atom di rantau ini.
Penganjuran program itu sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus turut mengangkat kedudukan strategik negeri ini di dalam kerangka serantau apabila Johor turut berperanan sebagai penyumbang utama kepada ekosistem kawal selia tenaga atom negara dengan lebih daripada 220 lesen dikeluarkan di bawah Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) yang beroperasi di Johor.
Menerusi Atom Malaysia, Negeri Johor juga dipilih sebagai penganjur bagi program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear (MITSATOM 2025) yang turut melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura dengan mempamerkan pelbagai demonstrasi membabitkan koordinasi lintas agensi, terutama dalam reaksi tindak balas kejadian sekuriti nuklear melibatkan penyeludupan bahan radioaktif rentas sempadan darat dan laut di rantau ASEAN yang berlangsung pada Julai lalu.
Mesyuarat ini juga menghimpunkan 10 negara anggota ASEAN, dengan kehadiran Timor-Leste sebagai pemerhati, selain penyertaan 12 rakan strategik antarabangsa seperti International Atomic Energy Agency (IAEA), Sekretariat ASEAN dan US Nuclear Regulatory Commission (USNRC).
Kerajaan Johor juga optimis pertemuan delegasi ini juga mampu memperkukuh kerjasama serantau serta membuka peluang kolaborasi dalam bidang tenaga nuklear, selain mencapai keberhasilan ASEANTOM 2025 iaitu ‘ASEAN Regional Arrangement for Information Sharing on Transboundary Movement of Radioactive Material’ yang menjadi mekanisme perkongsian maklumat serantau bagi sebarang pergerakan rentas sempadan membabitkan bahan radioaktif.
Ia termasuk prosedur penyelarasan komunikasi awam ketika berlakunya kecemasan radiologi atau nuklear sebagaimana yang terkandung di dalam ‘ASEAN Procedure on Coordination of Public Communication during a Radiological or Nuclear Emergency’.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hadir merasmikan Majlis Pembukaan Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) 2025 Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Hotel Renaissance Johor Bahru, hari ini.
Hadir sama ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Dato’ Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
#TenagaNuklear
#ASEANTOM2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor