JOHOR–SINGAPURA PERKUKUH KERJASAMA KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN BEKALAN AIR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menerima kunjungan hormat dari PYT Grace Fu, Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura bersama delegasi Kerajaan Singapura di kediaman rasminya, baru-baru ini. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh hubungan strategik dengan Singapura dalam usaha memastikan keselamatan bekalan air serta pengurusan alam sekitar yang lebih mampan bagi tempoh jangka masa panjang.

 

Perkara ini dizahirkan menerusi kunjungan hormat PYT Grace Fu, Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura bersama delegasi Kerajaan Singapura ke atas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, di kediaman rasminya, baru-baru ini.

 

Pertemuan tersebut telah memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling bertukar pandangan mengenai usaha untuk terus memperkukuh kerjasama antara Johor–Singapura khususnya dalam aspek keselamatan bekalan air serta pengurusan alam sekitar yang lebih berdaya tahan.

 

Perbincangan berkenaan turut menyentuh usaha untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik bagi memperkukuh perlindungan kualiti air sungai, pengurusan pencemaran serta penerokaan teknologi dan pendekatan baharu dalam meningkatkan daya tahan sistem bekalan air dan alam sekitar.

 

Langkah ini selari dengan komitmen Johor untuk memastikan sumber air negeri terus terpelihara, sekali gus menyokong keperluan rakyat serta pembangunan ekonomi yang semakin pesat berlaku di negeri ini.

 

Pada masa sama, kerjasama rentas sempadan seumpama ini juga dilihat penting dalam memastikan aspek pengurusan sumber alam sekitar terus dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan mampan demi kepentingan bersama.

 

Pertemuan tersebut diharap dapat terus memperkukuh hubungan baik antara Johor dan Singapura serta membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam bidang kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber alam terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.

 

#JohorSafeZone
#JohorBersih
#JohorGreenDeal
#SustainableJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor