JOHOR SUMBANG £10,000 PERKUKUH USAHA FARDU KIFAYAH DI EROPAH

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengetuai delegasi bagi pertemuan rasmi bersama Yayasan Pendidikan Suffa di London. | Foto FB Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor
#IskandarPuteri – Komitmen Johor dalam memperkukuh kesejahteraan ummah diperluaskan ke peringkat antarabangsa apabila Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan berjumlah £10,000 kepada Yayasan Pendidikan Suffa, sebuah organisasi yang giat melaksanakan usaha fardu kifayah bagi komuniti Islam khususnya masyarakat Melayu di Eropah.
Sumbangan tersebut turut menjadi pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap usaha konsisten yayasan diasaskan oleh Shaykh Mohammad Zaki Ismail, yang telah beroperasi lebih sedekad di London dalam memelihara akidah dan kebajikan ummah selain menyampaikan ilmu agama, melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan membantu masyarakat Muslim serantau yang memerlukan.
Sokongan dizahirkan mencerminkan juga keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan fardu kifayah yang wajar terus diperkasakan dalam kalangan umat Islam di samping untuk mengangkat peranan yayasan tersebut dalam bidang pendidikan dan kebajikan sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Islam Malaysia khususnya Bangsa Johor yang menetap atau berada di Eropah.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengetuai delegasi bagi pertemuan rasmi bersama Yayasan Pendidikan Suffa di London untuk membincangkan perjalanan semasa yayasan berkenaan dan hala tuju masa depannya.
Dalam pertemuan tersebut, Shaykh Zaki turut berkongsi aspirasi besar yayasan untuk menerajui usaha penubuhan Majlis Agama Islam di Eropah iaitu sebuah badan khusus yang akan menguruskan hal ehwal agama secara lebih sistematik seiring dengan amalan dilaksanakan di Malaysia.
#JohorSafeZone
#JohorPrihatin
#YayasanPendidikanSuffa
#SuffaFoundation
#KomunitiIslam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



