JOHOR TERIMA DUA PROJEK MERCU TANDA DARIPADA ECERDC

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyaksikan Majlis Penyerahan Projek JDV dan Projek RDC Peta di samping mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Negeri Johor Bil. 2/2025. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pembangunan strategik di selatan tanah air apabila menerima dua projek mercu tanda, Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Pusat Informasi Hutan Hujan (RDC) Peta di Mersing daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Penyerahan projek berkenaan bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi jangka panjang dimiliki Johor, malah membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dan ECERDC dalam memperkukuh pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh wilayah.
Projek JDV yang diserahkan kepada Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. pada 18 September lalu, merupakan hab tenusu bersepadu moden pertama di Johor dan bakal meningkatkan bekalan susu segar negara sebanyak 10 peratus dengan sasaran pengeluaran sembilan juta liter setahun serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan bernilai tinggi di Mersing.
Manakala, RDC Peta yang terletak di Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta yang siap sepenuhnya pada 2024 dan mula dibuka kepada orang ramai awal tahun ini telah diserahkan kepada Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bakal memperkukuh profil Johor sebagai destinasi utama ekopelancongan dan pendidikan biodiversiti di rantau ini.
Melalui kerjasama strategik berkenaan, pembangunan Johor tidak lagi tertumpu di koridor selatan semata-mata, sebaliknya turut diperluaskan ke kawasan luar bandar seperti Mersing seiring hasrat Kerajaan Negeri memastikan setiap lapisan rakyat menikmati limpahan hasil kemajuan negeri.
Kerajaan Negeri kekal komited menyokong pelaksanaan inisiatif di bawah ECERDC bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, berimpak tinggi dan inklusif sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai peneraju pembangunan strategik dan agromakanan negara.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyaksikan Majlis Penyerahan Projek JDV dan Projek RDC Peta di samping mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Negeri Johor Bil. 2/2025 di Putrajaya.
#JohorSafeZone
#JemaluangDairyValley
#ECER
#KeterjaminanMakanan
#PusatInformasiHutanHujanPeta
#ECERDC
#PerbadananTamanNegaraJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas