JOHOR TIDAK KOMPROMI SEBARANG AJARAN SESAT

Kerajaan Johor menegaskan pendirian tegas menolak sebarang ajaran sesat yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menegaskan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk ajaran sesat atau fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan rasmi serta asas pentadbiran hal ehwal Islam di Negeri Johor.

 

Pendirian tegas ini merangkumi ajaran Ahmadi Religion yang telah difatwakan sebagai sesat, selain mana-mana fahaman lain yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar dan berpotensi mengelirukan umat Islam di negeri ini, jelas YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

 

Bagi memastikan penularan ajaran sesat dapat dibendung, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kini melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap sebarang bentuk aktiviti, penerbitan serta bahan promosi yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan fahaman berkenaan yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

 

Tindakan tegas yang sewajarnya akan turut diambil termasuk menurunkan serta menyekat bahan-bahan promosi yang bercanggah dengan akidah Islam, ia selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara kesucian akidah umat Islam serta keharmonian agama di negeri ini.

 

Sementara itu, Kerajaan Johor turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat serta membuat laporan kepada Pejabat Kadi Daerah berhampiran atau melalui saluran rasmi pihak berkuasa agama sekiranya mengesan berlakunya sebarang aktiviti, pengajaran atau bahan berkaitan ajaran sesat di negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#JAINJ
#AjaranSesat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor