JOHOR TUBUH TASKFORCE ISU PENGURUSAN TANAH RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM

Usaha ini selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan panduan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan prinsip keharmonian, keadilan serta kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira agama mahupun bangsa. | Kenyataan Media YB K. Raven Kumar

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memandang serius isu pengurusan tanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang tular di media sosial dan menzahirkan komitmen untuk menanganinya secara bertanggungjawab melalui penubuhan Taskforce Hal Ehwal Masyarakat Bukan Islam.

 

Taskforce dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ini akan mengenal pasti tapak RIBI sedia ada yang masih belum mempunyai hak milik atau status sah serta membantu proses pemutihan dan pendaftaran tanah selaras dengan peruntukan Kanun Tanah Negara, jelas YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor.

 

Selain itu, taskforce ini turut berperanan menyelaras kerjasama antara Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan perancangan guna tanah dan pembangunan negeri mengambil kira keperluan ruang ibadat secara lebih tersusun.

 

Taskforce berkenaan juga akan memastikan setiap komuniti mempunyai ruang ibadat yang diiktiraf, teratur dan stabil untuk jangka panjang sekali gus mengelakkan pertikaian atau konflik pada masa hadapan melibatkan pelbagai kaum di negeri ini.

 

Usaha ini selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan panduan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan prinsip keharmonian, keadilan serta kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira agama mahupun bangsa.

 

Pendekatan diambil selari dengan konsep Bangsa Johor yang menekankan kebersamaan seluruh rakyat dalam sebuah negeri yang aman dan makmur selain menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri memastikan setiap komuniti mempunyai akses kepada ruang ibadat yang teratur dan sah dari sudut undang-undang.

 

#JohorSafeZone
#RIBI
#RumahIbadat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor