JOHOR UNGGULI PERUJIAN MEMBACA BARZANJI

Johor ungguli Majlis Perujian Membaca Barzanji sempena 100 Tahun MAINJ dengan kejayaan Johan, Naib Johan lelaki serta Naib Johan dan tempat ketiga perempuan. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Johor mengungguli Majlis Perujian Membaca Barzanji Jemputan Negeri Johor sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selepas dinobatkan selaku Johan dan Naib Johan untuk kategori lelaki manakala naib johan dan tempat ketiga bagi kategori perempuan.

 

Kejayaan tersebut menyerlahkan bakat peserta Johor yang turut mengangkat seni warisan Islam itu ke tahap tertinggi selain membuktikan kesungguhan negeri ini untuk terus menyemarakkan amalan barzanji yang bukan sekadar seni, tetapi juga menghidupkan rasa cinta kepada sirah Nabi Muhammad SAW.

 

Penganjuran majlis perujian barzanji buat julung kali itu membawa kelainan apabila menjemput penyertaan negeri-negeri lain melibatkan seramai 19 peserta terbahagi 12 lelaki dan tujuh perempuan mewakili 11 negeri yang mengambil bahagian bagi dua kategori dipertandingkan.

 

Bagi Mohammad Zakiuddin Hanafi, 30, johan kategori lelaki menyifatkan penyertaan peserta dari pelbagai negeri menjadikan pertandingan itu lebih mencabar kerana setiap wakil telah menampilkan alunan barzanji dengan keunikan dan kelebihan tersendiri.

 

Beliau turut berharap seni barzanji dapat terus dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi, terutama melalui peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dikembangkan seiring pertandingan Tilawah Al-Quran bagi menghidupkan rasa kecintaan terhadap Rasullulah SAW.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir Majlis Perasmian Penutup Perujian Barzanji Jemputan Negeri Johor sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor semalam.

 

#JohorSafeZone
#PerujianMembacaBarzanji
#JohorJohanBarzanji
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor