JS-SEZ BERPOTENSI JADI MODEL KERJASAMA RENTAS SEMPADAN ASEAN

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyertai Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2025 di Singapura. | Foto FB Lee Ting Han
#IskandarPuteri – Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) kini berpotensi besar untuk muncul sebagai model baharu kerjasama rentas sempadan ASEAN yang bukan sahaja merangkumi sektor pelaburan tetapi juga sebagai simbol kepada integrasi ekonomi, sosial dan teknologi antara dua negara berjiran.
Berkongsi visi pembangunan serantau yang sama, inisiatif pembangunan zon ekonomi khas itu telah menyerlahkan lagi semangat kerjasama antara Malaysia dan Singapura.
Menerusi inisiatif JS-SEZ ini juga, ia yang bukan sahaja menjadi platform untuk menarik pelaburan tetapi turut mewujudkan kolaborasi dua hala yang merangkumi perkongsian teknologi, mobiliti bakat dan pembinaan ekosistem perniagaan yang lebih berdaya saing.
Meskipun berdepan penyusunan semula rantaian bekalan global dan isu ketidaktentuan hubungan antara negara, ASEAN terus muncul sebagai wilayah yang stabil dari segi dasar dan kerjasama serantau, sekali gus menuntut kedua-dua negara untuk tidak hanya menunggu perubahan tetapi menjadi pemangkin kepada agenda perubahan tersebut.
Justeru, tumpuan akan diberikan kepada tiga elemen utama dalam usaha memastikan kejayaan jangka panjang JS-SEZ meliputi pembangunan infrastruktur fizikal dan digital yang mesti dilakukan dalam tempoh jangka masa panjang merangkumi pembinaan hab logistik, pusat data, tenaga bersih, sekali gus menjadikan zon ekonomi khas ini sebagai nadi kemajuan iktisad baharu serantau.
Selain itu, penyelarasan dasar dan peraturan antara Malaysia dan Singapura perlu diharmonikan serta disokong dengan tawaran insentif yang jelas serta konsisten bagi mewujudkan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur kedua-dua negara, di samping membuka ruang kepada usahawan, syarikat dan bakat tempatan untuk terus berkembang dan meraih manfaat besar menerusi JS-SEZ.
Untuk rekod, pembangunan inisiatif JS-SEZ telah merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM37.1 bilion, selain bakal menerima tambahan komitmen baharu berjumlah RM29 bilion seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan MADANI Keempat Tahun 2026, minggu lalu.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyertai Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2025 di Singapura yang menjadi platform penting membincangkan pelbagai isu penting melibatkan geopolitik, ekonomi, sosial dan teknologi.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor