JTDC SALUR BANTUAN GERAN PERALATAN KEPADA PMJ

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Geran Peralatan kepada Pusat Pendidikan & Latihan – Cybersecurity dan Elektrik & Elektronik di PMJ. | Foto FB Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor terus komited memperkukuh pembangunan modal insan melalui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menyalurkan geran peralatan berimpak tinggi berjumlah RM239,946 kepada Politeknik Mersing Johor (PMJ).
Komitmen itu dilaksanakan oleh Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang menyumbangkan bantuan geran peralatan tersebut yang merangkumi aspek penyediaan ‘SIEMENS PLC Trainer’ dalam bidang Elektrik & Elektronik serta ‘High-End Computer’ dan ‘Cyber Range Cloud’ bagi tujuan membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bidang Keselamatan Siber.
Inisiatif itu diyakini dapat mempertingkatkan serta memperkukuhkan kualiti PdP di politeknik berkenaan serta pada masa sama turut membuka peluang kepada pelajar untuk menguasai kemahiran terkini yang relevan dengan kehendak serta keperluan industri semasa.
Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan latihan kemahiran seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga kerja Johor yang berkualiti tinggi serta mampu memenuhi permintaan pasaran kerja terkini dan masa akan datang.
Bagi tujuan itu, SMI melalui JTDC akan terus memainkan peranan strategik dalam memperkasakan TVET Negeri Johor, seiring dengan visi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Geran Peralatan kepada Pusat Pendidikan & Latihan – Cybersecurity dan Elektrik & Elektronik di PMJ, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaJohor
#TVETJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor