KAMPUS RAKAN GRAB JADI HAB PEMERKASAAN EKONOMI GIG JOHOR

Kerajaan Johor memperkasa transformasi ekonomi melalui pelancaran Kampus Rakan Grab Johor Bahru sebagai hab baharu ekonomi gig negeri. | Foto FB Fazli Salleh

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda transformasi ekonomi menerusi penubuhan Kampus Rakan Grab (KRG) Johor Bahru yang dilancarkan sebagai hab pemerkasaan baharu ekonomi gig di negeri ini.

 

Inisiatif penjenamaan semula daripada ‘Grab Driver Centre’ kepada KRG itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa rakan pemandu, penghantar dan peniaga melalui pendekatan pembangunan jangka panjang yang lebih tersusun dan menyeluruh.

 

Usaha tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekosistem pengangkutan moden serta memperluas peluang ekonomi digital kepada rakyat Johor, jelas YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.

 

Menerusi kerjasama bersama Grab Malaysia, inisiatif tersebut akan menjadi komponen penting dalam rantaian pengangkutan dan ekonomi digital negeri apabila berperanan sebagai pusat pembangunan yang menyediakan latihan berstruktur menerusi program GrabAcademy.

 

Ia termasuk beberapa bentuk latihan merangkumi kemahiran digital, literasi kewangan, pendedahan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), serta peningkatan profesionalisme perkhidmatan.

 

Selain itu, KRG juga membuka akses kepada pensijilan kemahiran, khidmat konsultasi kewangan dan perlindungan sosial serta kemudahan yang disediakan juga bersifat inklusif dengan elemen mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan ruang mesra keluarga.

 

Usaha strategik itu mencerminkan iltizam Kerajaan Johor dalam membina tenaga kerja masa hadapan yang lebih berkemahiran dan berdaya saing, sekali gus menjadikan Johor sebagai sebuah negeri peneraju dalam transformasi ekonomi digital.

 

#JohorSafeZone
#EkonomiGig
#Grab
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor