KEJAYAAN JDT BUKTI VISI ‘AGUNG’ DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL

Di bawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, JDT bukan sahaja berjaya menguasai saingan domestik, malah turut membina ekosistem bola sepak yang lebih tersusun merangkumi pembangunan pemain, fasiliti bertaraf dunia serta pengurusan kelab yang profesional. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-12 berturut-turut sekali lagi menjadi bukti jelas kepada visi serta kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam mentransformasikan bola sepak negeri ini ke tahap lebih tinggi dan luar biasa.
Dominasi berterusan Harimau Selatan sejak tahun 2014 membuktikan bahawa pendekatan profesional, pelaburan strategik serta penetapan standard tinggi yang digariskan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor berjaya membentuk sebuah kelab bola sepak moden yang konsisten dan berdaya saing.
Kejayaan terbaharu kelab yang berpangkalan Johor Bahru itu disahkan selepas JDT menewaskan DPMM FC 3-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei semalam, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Harimau Selatan sebagai kuasa dominan bola sepak negara.
Di bawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, JDT bukan sahaja berjaya menguasai saingan domestik, malah turut membina ekosistem bola sepak yang lebih tersusun merangkumi pembangunan pemain, fasiliti bertaraf dunia serta pengurusan kelab yang profesional.
Pendekatan tersebut menjadikan JDT sebagai penanda aras baharu kepada pembangunan bola sepak negara serta membuktikan bahawa visi kepimpinan yang jelas mampu mengangkat sesebuah pasukan ke tahap kecemerlangan yang berterusan.
Kejayaan ini turut didukung komitmen tinggi para pemain, barisan kejurulatihan serta pengurusan kelab yang sentiasa mengekalkan budaya kecemerlangan dalam setiap perlawanan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor susulan kejayaan JDT menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-12 berturut-turut.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#WhatCanYouDo
#TheTMJEffect
#SouthernTigers
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


