KELUARGA DIRAJA JOHOR PRIHATIN, TEGAS DALAM ISU PERLINDUNGAN KANAK-KANAK

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan terima mengadap YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkenaan isu perlindungan kanak-kanak dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia. | Foto FB YAM Che’ Puan Besar Khaleeda
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berhubung isu perlindungan kanak-kanak dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di negara ini.
Titah disampaikan kepada Kerajaan Negeri jelas mencerminkan keprihatinan dan ketegasan Keluarga Diraja Johor dalam memastikan setiap kanak-kanak dilindungi daripada sebarang bentuk penganiayaan, keganasan serta ancaman moral yang boleh menjejaskan masa depan golongan berkenaan.
Kerajaan Negeri terus komited untuk memperkukuh usaha advokasi, pendidikan kesedaran, dan kerjasama dengan agensi berkaitan dalam memperhebatkan program perlindungan kanak-kanak di sekolah bagi memastikan sekolah sebagai tempat selamat dan sejahtera untuk anak-anak Bangsa Johor.
Usaha berkenaan akan dilaksanakan secara bersepadu oleh Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor dengan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan demi menjadikan negeri ini sebagai zon selamat buat kanak-kanak.
Untuk rekod, Johor telah memulakan usaha perlindungan kanak-kanak sejak tahun 2017 melalui kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDak) di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) selain menjadi negeri pertama menubuhkan Jawatankuasa Khas Anti-Buli Negeri Johor diikuti dengan kempen Anti-Buli Johor pada tahun ini.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan terima mengadap YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkenaan isu perlindungan kanak-kanak dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia, semalam.
#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaKita
#AntiBuliJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor