KERAJAAN JOHOR CADANG TAMBAH LOKASI PERKHIDMATAN TEKSI RENTAS SEMPADAN

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Khas Tren ETS3, Sabtu lalu. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Kluang – Kerajaan Negeri sedang merangka cadangan penambahan beberapa lokasi untuk mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

 

Usaha tersebut bertujuan untuk meningkatkan fleksibiliti serta keselesaan pengguna perkhidmatan tersebut memandangkan teksi atau kenderaan berlesen ‘sewa dan pandu’ dari Malaysia hanya dibenarkan menurunkan penumpang di Rochor Road, Singapura, manakala teksi dari Singapura pula akan menurunkan penumpang di Larkin Sentral.

 

Cadangan fasa pertama dijangka melibatkan penambahan lima lagi lokasi lain di Singapura selain Rochor Road, menjadikan keseluruhannya enam lokasi, sekali gus memberi lebih banyak destinasi pilihan kepada pengguna dan meningkatkan keselesaan perjalanan rentas sempadan.

 

Bagi fasa kedua, perbincangan akan melibatkan kemungkinan membenarkan sebahagian kenderaan melaksanakan perkhidmatan secara ‘door-to-door’ atau dari rumah ke rumah yang akan melibatkan bukan sahaja perkhidmatan teksi tetapi juga platform pengangkutan ‘e-hailing’.

 

Sementara itu, Kerajaan Negeri menyifatkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PBEGJB) yang bakal menghubungkan Johor Bahru hingga ke Padang Besar, Perlis sebagai transformasi sistem pengangkutan serta memendekkan tempoh perjalanan dua hala.

 

Pengoperasian perkhidmatan tren elektrik (ETS3) dari Kuala Lumpur ke Kluang juga bakal membawa peningkatan ketara dari sudut logistik, memudahkan pergerakan barangan dan penumpang dengan lebih efisien serta menyokong kelancaran rantaian bekalan antara wilayah.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor