70 PROJEK PEMBANGUNAN BERNILAI RM19.51 JUTA DI KLUANG

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Kluang. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor meluluskan peruntukan sebanyak RM19.51 juta bagi melaksanakan lebih 70 projek pembangunan di daerah Kluang untuk tahun 2026 menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD).

 

Peruntukan tersebut melibatkan pelbagai projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur, penyelenggaraan kemudahan awam serta penambahbaikan perkhidmatan, sekali gus memperkukuh usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

 

Sementara itu, sebanyak 189 isu di daerah berkenaan telah berjaya diselesaikan, manakala 38 isu sedang dalam pelaksanaan, manakala 15 berstatus permohonan baharu dan 19 isu lagi masih dalam tindakan penelitian serta siasatan di enam kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) iaitu Mahkota, Mengkibol, Paloh, Kahang, Layang-Layang dan Machap melibatkan keseluruhan 261 isu telah dibincangkan secara menyeluruh.

 

Pendekatan MTD terus terbukti menjadi platform penting bagi kerajaan untuk turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan menyelesaikan isu secara lebih pantas, tersusun serta berkesan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi pelaksana.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Kluang bagi memastikan pembangunan dan pelaksanaan projek dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.

 

#JohorSafeZone
#MTDKluang
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor