KERAJAAN JOHOR PASTIKAN OPERASI HOSPITAL PASIR GUDANG LANCAR

Hospital Pasir Gudang yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos ini. | Foto AH SOON.

 

#JohorBahru – Kerajaan Negeri terus mengguna pakai pendekatan ‘Whole-Of-Government’ dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) esok, untuk memastikan kelancaran pengoperasian Hospital Pasir Gudang yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

 

Pertemuan tersebut bakal memberi tumpuan kepada isu penempatan dan kekurangan petugas kesihatan di hospital berkenaan selain dua hospital utama iaitu Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) serta Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) bagi mengurangkan beban kakitangan sedia ada.

 

Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, seramai 43 petugas kesihatan berpengalaman dari HSAJB akan dipindahkan ke Hospital Pasir Gudang bagi memastikan kelancaran pengoperasian fasiliti baharu itu yang bakal menjadi tumpuan penduduk di Pasir Gudang.

 

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menegaskan keperluan untuk mengimbangi tenaga kerja antara petugas baharu dan mereka yang berpengalaman agar tahap perkhidmatan kesihatan di negeri ini, terutama di Hospital Pasir Gudang dapat dikendalikan secara cekap serta berkesan sejak hari pertama operasi.

 

Selain itu, isu penghijrahan petugas kesihatan ke negara jiran untuk menerima gaji lebih tinggi turut dipandang serius Kerajaan Negeri yang kini sedang merangka strategi lebih menyeluruh bersama KKM meliputi pengambilan, latihan dan menyediakan daya tarikan kerjaya.

 

Langkah berkenaan selari dengan komitmen berterusan Johor memperkukuh sektor kesihatan awam menerusi pendekatan ‘Whole-Of-Government’ yang menyaksikan penyelarasan strategik antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

 

#HospitalPasirGudang
#KesihatanBerkualiti
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor