KERAJAAN JOHOR SALUR INISIATIF PENDIDIKAN UNTUK CALON SPM DAN STPM

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Penyerahan Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makan Tengahari Percuma SPM serta Insentif Tingkatan 6 bagi Tahun 2025 DUN Tanjung Surat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi.  Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#KotaTinggi – Kerajaan Negeri terus komited dalam memberikan tumpuan terhadap agenda pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan negeri demi memastikan anak-anak Bangsa Johor mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

 

Komitmen berkenaan dizahirkan melalui pelaksanaan tiga inisiatif Bantuan Pendidikan Johor secara serentak di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor iaitu penyerahan kit alat tulis SPM Maju Johor, bantuan makanan tengah hari percuma SPM dan Insentif Tingkatan 6.

 

Sebanyak RM853,000 diperuntukkan bagi penyerahan kit alat tulis SPM Maju Johor disusuli RM4.2 juta lagi untuk penyediaan makanan tengah hari percuma kepada 42,466 calon SPM dan RM2 juta bagi Insentif Tingkatan 6 berupa bantuan tunai one-off sebanyak RM200 yang memanfaatkan 8,317 pelajar di seluruh negeri.

 

Ketiga-tiga inisiatif tersebut yang menjadi simbol kasih dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan pelajar itu merupakan antara 25 inisiatif tambahan diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat pada 11 September lalu.

 

Selain itu, pelaksanaan inisiatif tersebut turut bertujuan memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak Bangsa Johor yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Penyerahan Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makan Tengahari Percuma SPM serta Insentif Tingkatan 6 bagi Tahun 2025 DUN Tanjung Surat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi.

 

Hadir sama, YBrs. Encik Mahfudz Miskam, Ketua Penolong Pengarah Kanan TVET Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor; YBrs. Encik Azman Safii, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan YBrs. Encik Md. Solehhudin Md Tahir, Pengetua SMK Adela.

 

#JohorSafeZone
#SPMMajuJohor
#SPM2025
#JohorFreeMeals
#InsentifT6Johor
#JohorPrihatin
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor